WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCMC KERJASAMA DENGAN PENYEDIA PLATFORM, POLIS KESAN PEMILIK AKAUN "DICKIE BORNEO"

11/03/2026 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun “Dickie Borneo”, susulan penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil.

“Perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.

Menurut MCMC hasil pemantauan lanjut turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama, dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial, dengan semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Suruhanjaya itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.

"MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja. Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan