WILAYAH - TENGAH > BERITA

30 PERATUS PENGGUNA DI PERAK MULA BAWA BEG GUNA SEMULA KETIKA BERBELANJA

12/03/2026 08:23 PM

TAIPING, 12 Mac (Bernama) -- Larangan penggunaan beg plastik sekali guna di Perak yang memasuki hari ke-12 hari ini menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 30 peratus pengguna mula membudayakan amalan membawa beg sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata beliau mendapati rata-rata masyarakat bersedia untuk beralih kepada kaedah pembungkusan mesra alam, meskipun fasa peralihan dan advokasi masih berjalan hingga Ogos.

“Saya rasa masyarakat sudah bersedia. Mereka sudah mempunyai sikap yang bagus untuk membawa beg sendiri," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan premis bebas beg plastik di kawasan Majlis Perbandaran Taiping di Jalan Pasar, di sini hari ini.

Beliau berkata tempoh enam bulan fasa pendidikan akan digunakan sepenuhnya sebelum pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan penguatkuasaan penuh mengikut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 melalui syarat lesen perniagaan.

Teh berkata premis yang gagal memberikan kerjasama setelah penguatkuasaan penuh dilaksanakan berisiko berdepan tindakan tegas termasuk kemungkinan tidak dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan pada tahun hadapan.

"Kita beri tempoh enam bulan bagi membolehkan para peniaga mengurangkan penggunaan beg plastik dan hanya memberikannya kepada mereka yang benar-benar memerlukan, memandangkan fasa ini difokuskan kepada pendidikan serta advokasi sebelum penguatkuasaan penuh dijalankan," katanya.

Mengenai data keberkesanan caj 20 sen untuk beg plastik, Teh berkata kutipan yang mencecah RM1.2 juta dalam tempoh tiga tahun di Perak sejak 2023 menunjukkan kaedah tersebut gagal memberi kesan psikologi kepada pengguna.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri masih belum menemui alternatif beg plastik untuk kategori pasar basah, pasar malam dan penjaja kecil menyebabkan golongan tersebut dikecualikan daripada larangan tersebut ketika ini.

Teh berkata pengecualian itu diberikan bagi mengelakkan gangguan terhadap urusan perniagaan harian memandangkan barangan basah seperti ikan dan ayam sukar dibungkus tanpa menggunakan plastik sekiranya pengguna tidak membawa bekas sendiri.

"Pengecualian diberikan kepada pasar basah, penjaja kecil serta pasar malam buat masa ini berikutan ketiadaan alternatif yang praktikal, namun orang ramai tetap digalakkan untuk membawa beg guna semula sendiri ketika mengunjungi premis berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata larangan penggunaan plastik sekali guna berkuat kuasa mulai Mac, namun penguatkuasaan sepenuhnya hanya akan dilaksanakan selepas tamat tempoh peralihan selama enam bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan