WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS PERAK KUMPUL MAKLUMAT RUMAH IBADAT TANPA KEBENARAN

13/03/2026 04:14 PM

IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Polis Perak sedang mengumpul maklumat terperinci rumah ibadat yang beroperasi tanpa kebenaran di seluruh negeri sebagai langkah awal sebelum tindakan lanjut diputuskan bersama-sama pihak berkuasa negeri.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata tindakan itu untuk memastikan kerajaan negeri memperoleh gambaran sebenar bilangan rumah ibadat yang mempunyai rekod rasmi atau tidak.

“Selepas maklumat ini lengkap, kita akan berbincang dengan pihak berkuasa negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Ketua Polis Daerah Ipoh dan Hilir Perak di sini hari ini. 

Noor Hisam berkata isu itu perlu ditangani secara berhemah bagi mengelakkan kegusaran awam dan memastikan keharmonian negara tidak terjejas.

“Polis sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memastikan sebarang isu diurus dengan baik tanpa menjejaskan keamanan awam,” katanya.

Noor Hisam berkata setakat ini, tiada laporan ketegangan berpunca daripada rumah ibadat tanpa kebenaran diterima di Perak. 

Pada majlis itu, ACP Mohd Husni Manaf dilantik memangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak menggantikan ACP Lee King Chuan yang dilantik Pengarah Bahagian Siasatan/Pendakwaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

ACP Muhammad Najib Hamzah pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh menggantikan ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang ditukarkan sebagai Timbalan Komandan (Latihan) Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. 

 Selain itu, ACP Chua Kok Lian mengambil alih jawatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak daripada ACP Dr Bakri Zainal Abidin yang bersara wajib pada 15 Mac selepas berkhidmat selama 39 tahun. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan