WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA MAUT, SEORANG PARAH TERJATUH SKYLIFT DI SUBANG JAYA

17/03/2026 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terjatuh dari jentera skylift ketika melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah apartmen di Subang Jaya, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya dimaklumkan kejadian oleh orang awam pada 3.50 petang dan pasukan Balai Polis USJ 8 mendapati semua mangsa dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk apartmen berkenaan.

“Dua daripadanya disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan manakala seorang lagi mengalami kecederaan pada kepala dan dada dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiga warga asing berusia 38 hingga 46 tahun itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima bangunan dengan menggunakan jentera skylift ketika hujan lebat.

Wan Azlan berkata setakat ini, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerusi talian 03-78627222/03-78627100 atau hadir di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan