WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UTUSAN KHAS CHINA BAGI ISU ASIA BARAT TEMUI MENTERI LUAR KUWAIT

17/03/2026 03:57 PM

KUWAIT CITY, 17 Mac (Bernama-CMG) -- Utusan khas kerajaan China bagi isu Asia Barat, Zhai Jun mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Kuwait, Sheikh Jarrah Jaber Al-Ahmad Al-Sabah di sini, pada Ahad.

Zhai berkata Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran tanpa mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa, dan China menentang keras tindakan sedemikian.

Beliau menegaskan bahawa gencatan senjata perlu segera dilaksanakan bagi  mengelakkan situasi serantau daripada terus meruncing.

Zhai berkata China memuji sikap Kuwait yang mengawal diri selepas tercetusnya peperangan, di samping menzahirkan kesediaan China untuk bersama-sama Kuwait untuk memainkan peranan membina dalam meredakan ketegangan situasi serantau.

Dalam pertemuan itu, Sheikh Jarrah berkata, Kuwait bukan pihak terlibat dalam peperangan dan negara itu menyokong penyelesaian pertikaian melalui pendekatan damai.

Beliau memuji China yang menjunjung keadilan, dan mengalu-alukan utusan khas China melakukan usaha pengantaraan  di negara-negara Asia Barat.

Sheikh Jarrah juga berkata Kuwait bersedia bekerjasama dengan China untuk meredakan ketegangan situasi di rantau itu.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan