WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DISKAUN TOL 50 PERATUS BANTU RINGAN KOS PERJALANAN RAKYAT SEMPENA AIDILFITRI - NANTA

17/03/2026 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, terutama mereka yang menempuh perjalanan jauh serta menanggung pelbagai keperluan persiapan raya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata pemberian diskaun itu selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

“Pelaksanaan diskaun tol ini akan bermula pada 12.01 tengah malam 18 Mac dan berakhir pada 11.59 malam 19 Mac 2026 membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua lebuh raya kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Pemilihan tarikh pelaksanaan diskaun bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan rehat dan rawat di lebuh raya,” katanya. 

Nanta berkata semua kerja penyenggaraan dihentikan sepanjang tempoh 18 hingga 30 Mac bagi memastikan kelancaran operasi lebuh raya termasuk trafik lebih lancar, mengelakkan lorong ditutup serta meminimumkan gangguan kepada pengguna yang pulang ke kampung atau kembali semula ke ibu kota selepas Aidilfitri.

“Pengguna lebuh raya diharap dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas selain disaran memuat turun aplikasi TuJu Navigasi Lebuh Raya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan MyPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

“Patuhi arahan papan tanda, had laju dan beri perhatian kepada maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Bagi mereka yang menggunakan lorong smartlane, beri isyarat awal sebelum memasuki lorong, memandu dengan kelajuan ditetapkan dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi LLM di Facebook, TikTok atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM melalui talian 1-800-88-7752 atau laman web rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian daripada langkah menyeluruh kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup khususnya menjelang musim perayaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan