WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM RINTIS KAFA DALAM PROSES PENAMBAHBAIKAN, PENILAIAN - MARHAMAH

17/03/2026 09:28 PM

KOTA BHARU, 17 Mac (Bernama) -- Program Rintis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) masih dalam proses penambahbaikan dan penilaian secara menyeluruh sebelum dimuktamadkan pelaksanaannya untuk lima hari seminggu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.

Beliau  berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang merancang untuk melibatkan 200 guru KAFA dalam program rintis terbabit melibatkan masing-masing 100 guru di Melaka dan Perak.

"Kita perlu memahami kebanyakan kelas KAFA ketika ini beroperasi tiga hari seminggu dan menggunakan premis sedia ada seperti sekolah kebangsaan yang turut menjalankan aktiviti kokurikulum.

"Justeru, untuk melaksanakan model lima hari seminggu, ia memerlukan penyediaan premis yang benar-benar bersesuaian dan mampu menampung keperluan pelajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni MADANI bersama guru KAFA di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 450 guru KAFA dari Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat menerima sumbangan sempena Aidilfitri.

Marhamah berkata pihaknya juga sedang mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pendidikan bagi meneliti pelbagai aspek termasuk penyelarasan waktu bekerja guru, struktur elaun, kebajikan guru dan pelajar serta keperluan operasi program.

"Program ini dilaksanakan sebagai rintis dan tidak diperluas pada peringkat awal namun sekiranya berjaya, ia berpotensi menjadi asas kepada penstrukturan semula perjawatan melibatkan 36,500 guru KAFA di seluruh negara.

"Tempoh pelaksanaan rintis adalah selama dua tahun. Bagaimanapun, pada masa ini ia masih di peringkat cadangan oleh JAKIM dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan