KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Komitmen kerajaan terhadap pembaharuan dasar fiskal sejak beberapa tahun lepas membuahkan hasil, memberikan ruang untuk mengambil pendekatan tunggu dan di sebalik konflik di Asia Barat, kata OCBC Research Group.
Ahli Ekonomi Kanan ASEAN bagi OCBC Malaysia Lavanya Venkateswaran berkata Malaysia sedang menangani ketidakstabilan luaran, berikutan kenaikan harga minyak global menimbulkan risiko kepada inflasi dan imbangan fiskal, serta kos logistik.
"Ekonomi sedang memasuki turun naik global terkini ini dari kedudukan yang kukuh. Kami menjangkakan julat ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 2026 yang akan diumumkan oleh (kerajaan) adalah 4.5 hingga 5.5 peratus, manakala unjuran kami kekal pada 4.4 peratus," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Lavanya berkata terdapat sedikit ruang fiskal untuk diuruskan dengan kerajaan mengekalkan subsidi RON95 di bawah mekanisme Budi MADANI RON95 (BUDI95), oleh itu Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar akan mengekalkan kadar faedah sehingga 2026 tetapi kami akan terus memantau risiko terhadap unjuran tersebut.
Beliau berkata kerajaan menyatakan bahawa peruntukan boleh mencecah RM2 bilion sebulan untuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI95 yang membawa kepada perbelanjaan sebanyak RM24 bilion.
"Ini serupa dengan jangkaan kami mengenai bil subsidi RON95 jika harga minyak global purata AS$100 setong untuk 2026. Jika harga minyak berada di sekitar purata tahun ini iaitu AS$72.7 setong, kami menganggarkan bil subsidi akan mencecah kira-kira RM12.5 bilion," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial