WILAYAH - TIMUR > BERITA

KELANTAN CATAT 60,000 PENDAFTARAN VSP, TERTINGGI DALAM NEGARA

18/03/2026 03:02 PM

KOTA BHARU, 18 Mac (Bernama) -- Kelantan merekodkan lebih 60,000 pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP), sekali gus menjadi negeri dengan jumlah pendaftaran tertinggi di Malaysia, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan kempen berterusan selain tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan membantu menyalurkan maklumat jenayah.

"Setakat ini daerah Kuala Krai merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi di Kelantan. Dengan adanya VSP, masyarakat boleh menyalurkan maklumat jenayah serta membuat laporan balik kampung (rondaan) semasa musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 26/2026 Peringkat Kontinjen Kelantan Sempena Aidilfitri di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata antara kelebihan utama aplikasi itu ialah ciri butang panik yang membolehkan pengguna menekan butang terbabit sekiranya berlaku kecemasan seperti kes pecah rumah dan kejadian jenayah lain.

Mengenai aliran trafik menjelang Aidilfitri, Mohd Yusoff berkata beberapa lampu isyarat di jalan utama telah ditukar ke mod lampu kuning berkelip (amber flash) untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sejak semalam.

"Di Kelantan, sebanyak 42 lokasi 'hotspot' (kawasan kerap kesesakan) dan 67 lokasi 'blackspot' (kerap kemalangan) dikesan, malah lapan laluan utama yang kritikal akan diberi tumpuan khas iaitu Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang. 

"Sebanyak 20 pegawai dan 150 anggota trafik akan bertugas sepanjang Op Selamat bermula esok hingga 24 Mac. Kita turut menubuhkan Skuad Jem dan melaksanakan Ops Lancar bermula hari ini hingga 29 Mac bagi memastikan kelancaran aliran trafik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff menafikan dakwaan kes kematian doktor pelatih di asrama Hospital Kuala Krai pada 6 Mac lepas mempunyai kaitan dengan kes seorang doktor pelatih yang merakam wanita mandi di hospital berkenaan.

"Yang kes rakaman di bilik air itu tiada kaitan dengan kematian doktor pelatih berkenaan cuma kedua-dua kes berlaku di hospital sama. Kita tidak mahu sebarang spekulasi mengenai kes ini memandangkan ia dalam siasatan dan masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis telah merekod keterangan lebih 10 individu susulan kematian doktor pelatih wanita di asrama Hospital Kuala Krai pada 6 Mac.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan