WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MFL GESA SEMUA PIHAK SALUR PANDANGAN MELALUI SALURAN BETUL

18/03/2026 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggesa semua pihak menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara.

MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan pandangan namun sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar.

"Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri," menurut kenyataan itu sebagai penjelasan kepada  tindakan sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat MFL, semalam.

Menyentuh mengenai isu yang dibangkitkan oleh sekumpulan individu terbabit, MFL menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza.

Menurutnya, proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi dalam Liga Malaysia adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.

"Bagaimanapun bagi pendaftaran pemain dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero jelas mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.

MFL sekali lagi menegaskan empat pemain tersebut telah didaftarkan dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dan bukan pemain naturalisasi.

Sebagai pemain tempatan, keempat-empat pemain ini boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026 di mana Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan pada tempoh pertama pendaftaran pemain 9 Jun-31 Ogos 2025 oleh JDT manakala Palmero yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua pendaftaran pemain 5 Jan-1 Feb 2026.

Malah keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain tersebut sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac lepas, dengan menjelaskan tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan