WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIGA SUPER: JDT BELASAH PDRM FC 7-0, KEKALKAN REKOD CEMERLANG SELAKU JUARA

19/03/2026 12:35 AM

ISKANDAR PUTERI, 18 Mac (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan dominasi luar biasa dalam saingan Liga Super selepas membelasah PDRM FC 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Skuad Harimau Selatan bermula garang seawal minit keempat apabila tandukan Bergson Da Silva hasil hantaran La’ Vere Corbin-Ong menerjah gawang PDRM yang dikawal penjaga gol Muhd Asri Muhamad, namun gagal diterjemahkan kepada gol.

Dominasi JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-14 apabila Yago Cesar menyambar hantaran Manuel Hidalgo dari dalam kotak penalti untuk meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.

Gol kedua hadir pada minit ke-20 menerusi Ignacio Mendez yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti hasil hantaran Corbin-Ong.

Empat minit kemudian, Stuart Wilkin menambah gol ketiga menerusi rembatan kencang, sekali gus menamatkan babak pertama dengan kelebihan selesa 3-0 buat JDT.

Memasuki babak kedua, JDT menambah gol keempat pada minit ke-51 apabila Stuart Wilkin memanfaatkan kekalutan di dalam kotak penalti hasil hantaran Manuel Hidalgo.

Pada minit ke-71, Jairo Da Silva hampir menambah jaringan, namun gol dibatalkan selepas semakan VAR mendapati beliau berada di kedudukan offside dalam kawasan kotak penalti.

Gol kelima JDT hadir pada minit ke-80 apabila Jairo Da Silva menolak masuk bola hasil hantaran Muhammad Nazmi Faiz Mansor untuk menewaskan penjaga gol gantian Nor Hakeem Hamidun.

Selang seminit kemudian, Jairo Da Silva sekali lagi menjaringkan gol melalui rembatan dari luar kotak penalti susulan hantaran kedua Muhammad Nazmi Faiz Mansor untuk menjadikan kedudukan 6-0 buat tuan rumah.

Pada minit ke-87, Bergson Da Silva menambah gol ketujuh selepas memanfaatkan hantaran Jairo Da Silva bagi menamatkan permainan dengan kemenangan besar 7-0 buat JDT.

PDRM FC yang cuba bangkit menerusi beberapa serangan balas gagal menembusi benteng pertahanan JDT. Kemenangan malam ini melebarkan dominasi JDT dalam Liga Super dan menambah satu lagi rekod gemilang mereka sebagai juara liga kali ke-12 berturut-turut sejak 2015.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan