WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANAK SYARIKAT EONMETALL CADANG JUAL TANAH DI KLANG BERHARGA RM273.28 JUTA

19/03/2026 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Eonmetall Group Bhd (EGB) melalui anak syarikat milik penuhnya Eonmetall Land Sdn Bhd memeterai perjanjian bersyarat untuk menjual sebidang tanah pegangan bebas di Klang, Selangor kepada WG Malaysia VIII Sdn Bhd pada harga RM273.28 juta.

Tanah berkenaan dengan keluasan kira-kira 2.88 juta kaki persegi, dikhususkan untuk kegunaan perindustrian.

EGB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata cadangan penjualan itu dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama berikutan kepentingan beberapa pengarah dan pemegang saham utama dalam urus niaga berkenaan.

“Cadangan penjualan itu adalah peluang menguntungkan untuk kumpulan menjana pulangan daripada tanah berkenaan memandangkan pembeli telah mengenal pasti tanah itu sebagai antara projek pembangunan infrastruktur teknologi maklumat (IT) yang lebih besar.

“Sehubungan itu, harga jualan itu mencerminkan nilai tanah yang mempunyai potensi pembangunan infrastruktur IT sekali gus memberi harga premium berbanding tanah yang sama bagi kegunaan industri biasa,” menurut pengeluar sistem pengendalian bahan itu.

EGB yang mencatat kerugian bersih sebanyak RM47.31 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 berkata cadangan penjualan itu akan membolehkan kumpulan merealisasikan nilai tanah pada harga  menguntungkan dan dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.

“Kumpulan dijangka merekodkan keuntungan pro forma bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat berjumlah RM57.82 juta,” katanya.

EGB berkata hasil daripada penjualan itu akan digunakan terutamanya untuk membayar balik pinjaman, membiayai modal kerja serta membiayai potensi pembelian.

Cadangan penjualan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan, dan dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua 2026, katanya.

Wyncorp Advisory Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat bebas untuk menilai sama ada cadangan penjualan itu adil dan munasabah kepada pemegang saham EGB yang tidak berkepentingan serta sama ada urus niaga itu merugikan mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan