KUALA TERENGGANU, 21 Mac (Bernama) -- Setiap kali menjelang Aidilfitri, sebuah keluarga besar di Kampung Tok Dir di sini tidak pernah melepaskan peluang mengekalkan tradisi memakai pakaian sedondon sebagai simbol kebersamaan serta keharmonian dalam kalangan mereka.
Muda Abdullah, 68, bersama isteri Khatijah Said, 62, serta 12 anak, 30 cucu dan 10 menantu sepakat memilih warna tema untuk dipakai bersama pada pagi Syawal.
Muda berkata amalan yang diteruskan setiap tahun itu bukan sahaja menceriakan suasana pagi Syawal, malah mencerminkan nilai kasih sayang serta perpaduan yang utuh dalam keluarga berkenaan.
Katanya, tradisi itu bermula sejak 2018 dan masih diteruskan hingga kini, sebagai satu daripada cara mengekalkan hubungan erat dalam kalangan ahli keluarga.
“Kami sepakat untuk memakai warna yang sama setiap kali Hari Raya. Ia kelihatan lebih teratur dan serasi apabila semua berkumpul dengan warna yang sedondon untuk diabadikan sebagai kenangan pada pagi raya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tok Dir di sini hari ini.
Sementara itu, anak perempuan Muda, Nazifa Qasrina, 25, berkata pemilihan warna dibuat secara undian melibatkan semua ahli keluarga bagi memastikan setiap orang mempunyai peranan dalam menentukan tema pakaian.
Anak kesebelas daripada 12 beradik itu berkata walaupun jumlah ahli keluarga semakin bertambah dengan kehadiran menantu dan cucu, kesepakatan tersebut tetap dikekalkan dengan melibatkan semua pihak dalam proses pemilihan warna.
“Kami akan menyenaraikan beberapa warna dan membuat undian di kumpulan WhatsApp keluarga. Warna yang menerima undian tertinggi akan dipilih sebagai tema tahun tersebut,” katanya.
Nazifa Qasrina berkata pada Aidilfitri kali ini, warna hijau zamrud atau emerald green dipilih selepas mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli keluarga, dengan setiap individu membeli pakaian masing-masing mengikut warna yang dipersetujui tanpa perlu menempah secara khusus.
“Kami tidak menetapkan jenis pakaian, hanya warna sahaja. Jadi masing-masing bebas memilih rekaan sendiri asalkan warnanya sama,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan ahli keluarga tinggal berhampiran dalam kampung sama, sekali gus memudahkan mereka berkumpul dan meraikan Aidilfitri bersama-sama.
“Apabila semua berpakaian sedondon, suasana menjadi lebih meriah dan kami rasa lebih rapat antara satu sama lain. Keseragaman kami mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan sekali gus menjadi kenangan indah yang sentiasa dinantikan setiap kali tibanya Syawal," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial