WILAYAH - SELATAN > BERITA

ANGGOTA TENTERA MAUT KEMALANGAN BABIT TIGA KENDERAAN

23/03/2026 01:52 PM

ALOR GAJAH, 23 Mac (Bernama) -- Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Padang Kemunting, Masjid Tanah, awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.20 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala serta putus tangan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka Supt Muhammad Zaki Ramat berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa dari arah Sungai Udang menghala ke Pengkalan Balak dipercayai cuba memotong kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Akibat tindakan itu, mangsa bertembung dengan sebuah motosikal jenis SYM VF3i dan kereta Proton Saga yang datang dari arah Pengkalan Balak menghala ke Sungai Udang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penunggang motosikal SYM VF3i itu, yang berusia 18 tahun mengalami patah kaki dan tangan kanan serta kini dirawat di Hospital Melaka.

 Pemandu Proton Saga iaitu wanita berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Loh Gia Xao melalui talian 019-5382353 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan