KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski memberi bayangan akan terus membimbing skuad Harimau Malaya meskipun gagal layak ke Piala Asia 2027.
Pengendali dari Australia itu berkata kegagalan itu amat perit, namun visi jangka panjangnya tidak pernah berubah untuk membawa Malaysia ke pentas Piala Dunia.
“Saya benar-benar telah jatuh cinta dengan negara ini. Peluang bekerja bersama pemain dan barisan kejurulatihan merupakan pengalaman amat bermakna. Kira-kira 12 bulan lepas, saya duduk di sini buat pertama kali di hadapan anda (media) dan menyatakan terdapat visi jangka panjang untuk layak ke Piala Dunia.
“Turut dinyatakan mengenai sasaran jangka pendek, layak ke Piala Asia. Namun, perkara itu dirampas sepenuhnya daripada kami disebabkan faktor di luar bola sepak yang bukan dalam kawalan kami,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di sini hari ini.
Skuad negara kini dalam rangka persiapan bagi mengharungi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Ninh Binh, 31 Mac depan.
Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata Harimau Malaya akan menjalani sesi latihan di Bangkok, Thailand bermula esok hingga 27 Mac sebelum berlepas ke Nam Dinh.
Dalam pada itu, Cklamovski berkata ketiadaan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson da Silva dan Kuala Lumpur City FC Giancarlo Gallifuoco dalam senarai skuad kebangsaan bagi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 itu kerana berkait dengan isu kelewatan pendaftaran.
Dua nama pemain import Liga Super tersebut itu diuar-uarkan akan menyertai kem latihan pusat terbaharu selepas dilapor telah menamatkan tempoh lima tahun mereka di Malaysia mengikut peraturan naturalisasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Ya, situasinya sedikit berbeza, namun pada asasnya saya dimaklumkan bahawa pendaftaran Bergson dan Giancarlo tidak sempat diselesaikan untuk membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan itu. Jadi, sebagai ketua jurulatih, keputusannya mudah, mereka tidak tersedia untuk dipilih.
“Nacho Mendez (JDT) pula, saya rasa semua telah melihat beliau mengalami kecederaan dalam perlawanan terakhirnya beberapa hari lepas, jadi sekali lagi keputusan mudah bagi saya, beliau tidak dapat diturunkan akibat kecederaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial