WILAYAH - UTARA > BERITA

PENIAGA TEPI JALAN SEKITAR KANGAR BUAT PERSIAPAN AWAL HADAPI CUACA PANAS

23/03/2026 06:23 PM

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

KANGAR, 23 Mac (Bernama) -- Peniaga tepi jalan di sekitar bandar ini mula membuat persiapan awal bagi menghadapi cuaca panas yang dijangka berlarutan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Langkah itu termasuk menyesuaikan rutin harian dan memberi perhatian terhadap kesihatan diri bagi memastikan operasi perniagaan tidak terjejas sepanjang tempoh itu.

Seorang peniaga gerai kopi di tepi Jalan Besar, Amisya Hishamudin, 24, berkata pengalaman berdepan cuaca panas dua tahun lepas menjadi pengajaran buat dirinya untuk lebih bersedia kali ini dengan menambah pemasangan gegantung.

“Tahun 2024 lagi panas, sampai muka rasa pedih bila lama terdedah bawah matahari. Tahun ini saya kena lebih berjaga-jaga.

“Saya pasang lebih banner untuk lindung cahaya matahari terik di sebelah kanan gerai. Selain menjaga kesihatan diri, peniaga juga perlu memastikan bekalan air mencukupi sepanjang tempoh berniaga,” katanya kepada Bernama.

Seorang peniaga nasi ayam di jalan sama, Idham Zamri, 30, berkata dia bersedia lebih awal kerana menjangkakan keadaan cuaca panas pada kali ini akan berpanjangan.

“Setiap hari saya akan timba air untuk sapu muka bagi kurangkan bahang. Kalau ikutkan, cuaca panas ni boleh jadi sampai enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Perlis Nur Syafarina Shafi'e berkata berdasarkan status terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Perlis kini berada pada Tahap 1 (kuning) iaitu tahap berjaga-jaga.

Beliau berkata negeri itu merekodkan suhu maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Nur Syafarina menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan dengan minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan pembakaran terbuka serta peka terhadap perubahan cuaca sepanjang fasa peralihan monsun yang dijangka bermula hujung Mac hingga Mei.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan