WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ALIRAN TRAFIK LEBUH RAYA UTAMA MENGHALA IBU NEGARA SESAK MALAM INI

23/03/2026 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di lebuh raya utama negara sesak sehingga 8.30 malam ini berikutan peningkatan mendadak jumlah kenderaan warga kota selepas menyambut Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kesesakan melibatkan pergerakan kenderaan dari arah utara, selatan dan Pantai Timur ke arah ibu kota.

“Bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1, keadaan paling kritikal dikesan bagi arah selatan melibatkan laluan dari Alor Pongsu ke Taiping Utara dengan kesesakan sepanjang 18 kilometer (km) akibat jumlah kenderaan sangat tinggi.

“Di sektor selatan, kesesakan sepanjang 14 km dilaporkan dari Ayer Keroh ke Simpang Ampat dengan anggaran kelewatan mencecah 40 minit,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, aliran trafik dari arah selatan ke Kuala Lumpur dilaporkan perlahan di beberapa lokasi termasuk dari Bukit Gambir ke Jasin serta dari Pedas Linggi ke Senawang. 

“Bagaimanapun, aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi dilaporkan masih lancar setakat ini,” katanya.

Bagi pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT), kesesakan teruk sepanjang 25 km dilaporkan dari arah Plaza Tol Karak sehingga ke Lentang. 

“Trafik juga bergerak perlahan dari Genting Sempah menuju ke Plaza Tol Gombak bagi memasuki ibu kota,” katanya.

Jurucakap itu berkata kesesakan juga berlaku di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), terutamanya di sekitar Plaza Tol Hutan Melintang menghala ke Sabak Bernam dengan trafik bergerak perlahan sehingga ke Jalan Persekutuan.

Pihak LLM menasihatkan pengguna kekal sabar dan berhati-hati di jalan raya memandangkan aliran trafik dijangka terus tinggi sehingga lewat malam ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan