KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kalangan pelabur asing meneruskan aktiviti jualan bersih bagi minggu kelima berturut-turut di lapan pasaran Asia dengan aliran keluar bersih mencecah US$12.13 bilion pada minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd.
Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir pada 20 Mac 2026, bank pelaburan itu menyatakan Indonesia muncul sebagai penerima tunggal aliran masuk dana manakala Taiwan mendahului jumlah aliran keluar dana asing.
Indonesia juga menjadi satu-satunya pasaran dengan belian bersih bernilai US$20.3 juta bagi aliran masuk asing bersih selepas bank pusat negara itu mengekalkan kadar penanda aras repo berbalik tujuh hari pada 4.75 peratus, kadar kemudahan deposit pada 3.75 peratus serta pinjaman pada 5.50 peratus.
“Langkah itu bertujuan menstabilkan rupiah Indonesia yang susut nilai kepada sekitar IDR16,985 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah senario aliran keluar modal yang berterusan.
“Pada masa sama, Bank Indonesia turut menegaskan komitmen mengekalkan inflasi dalam julat sasaran 2.5 peratus iaitu kira-kira satu peratus walaupun inflasi meningkat kepada 4.76 peratus tahun ke tahun pada Februari 2026,” menurutnya.
Selain itu, MBSB menyatakan Taiwan menyaksikan aliran keluar dana asing bersih bagi minggu ketiga bernilai US$5.64 bilion atau tertinggi di rantau ini berikutan krisis Asia Barat yang kian memuncak serta mencetuskan kebimbangan terhadap potensi gangguan rantaian bekalan selain lonjakan semula harga tenaga global.
“Walaupun pendedahan langsung Taiwan ke atas Selat Hormuz kekal terhad (kurang daripada 20 peratus), kebergantungan tenaga import sebanyak 97-98 peratus hanya menjadikan ekonomi sensitif terhadap sebarang ketidaktentuan harga minyak serta tekanan inflasi import,” menurutnya.
Di Bursa Malaysia, MBSB menyatakan pelabur asing bertindak melakukan jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar dana bersih berjumlah RM168.3 juta.
“Pelabur asing menjadi penjual bersih pada dua daripada empat hari dagangan bagi tempoh sepanjang minggu berkenaan dengan aliran keluar tertinggi pada Khamis (-RM244.3 juta) dan diikuti pada Isnin (-RM175.5 juta) manakala aliran masuk terbesar pada Selasa (RM159.7 juta) dan Rabu (RM91.8 juta),” menurut laporan itu.
Tiga sektor utama yang menerima aliran masuk asing bersih ialah perladangan (RM156.8 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM90.7 juta) serta penjagaan kesihatan (RM61 juta).
Aliran keluar pula merangkumi sektor perkhidmatan kewangan (-RM399.3 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (-RM56.3 juta) selain pembinaan (-RM46 juta).
Institusi tempatan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM332.8 juta yang juga minggu kedua berturut-turut melibatkan aktiviti belian bersih.
Pelabur runcit tempatan mencatat aliran keluar bersih sebanyak -RM164.6 juta yang merupakan aktiviti jualan bersih selepas aliran masuk dana pada minggu sebelumnya.
Dalam pada itu, purata jumlah dagangan harian menunjukkan penurunan menyeluruh dengan pelabur runcit tempatan sebanyak -12.7 peratus, institusi tempatan -14.6 peratus namun pelabur asing meningkat sebanyak 7.0 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial