WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KANAK-KANAK PEREMPUAN MAUT, DITEMUKAN TIDAK SEDARKAN DIRI DALAM KOLAM

24/03/2026 07:39 PM

IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah kolam air buangan berhampiran dengan kediamannya di Simpang 4 Permatang Pelandok, Teluk Intan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 9.24 malam.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 7 malam apabila mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati kolam terbabit tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti penghadang atau penutup, dengan anggaran kedalaman kira-kira empat kaki.

“Ketika kejadian, ahli keluarga dipercayai sedang mengemas rumah selepas berlangsung satu majlis sebelum menyedari kehilangan mangsa.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan termasuk menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” menurut kenyataan itu.

Chua turut menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memastikan kanak-kanak berada di bawah pengawasan rapi, khususnya di kawasan berisiko seperti kolam, longkang dan parit.

Beliau berkata langkah pencegahan seperti pemasangan penghadang atau pagar keselamatan perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang. 

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan