WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM REINTEGRASI PENGHUNI INDUSTRI BERI SINAR BAHARU KEPADA ORANG DISELIA

24/03/2026 05:59 PM

KLUANG, 24 Mac (Bernama) -- Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna berbeza buat seorang Orang Diselia (ODS) di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kluang apabila berpeluang memberikan duit raya sebanyak RM1,000 kepada ibunya buat kali pertama sejak dipenjarakan.

ODS terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 38, berkata dia mampu berbuat demikian selepas menyertai Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) sejak tujuh bulan lepas dengan bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Yong Peng, Batu Pahat.

Katanya, peluang kedua yang diberikan Jabatan Penjara itu tidak disia-siakan, lebih-lebih lagi apabila dia kini mempunyai pendapatan sendiri.

“Saya dimasukkan ke penjara pada 2024 atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan saya amat menyesal. Saya berazam untuk tidak mengulanginya lagi apabila dibebaskan kelak, malah jika boleh, saya mahu terus bekerja di sini.

“Saya nak ada gaji sendiri dan beri duit raya kepada ibu setiap tahun. Dahulu, disebabkan dadah, saya banyak ambil duit ibu, kini sudah tiba masanya saya balas jasanya,” katanya kepada Bernama pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 PRP Kluang, di sini, hari ini.

Shah, yang juga dikenali sebagai Along dalam kalangan penghuni PRP Kluang, berkata dia dijangka dibebaskan dalam tempoh 16 bulan lagi.

Anak sulung daripada sembilan beradik itu turut mengakui PRPI memberikan banyak manfaat kepada ODS sepertinya, khususnya dalam membantu mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat sebelum dibebaskan.

“Saya terharu walaupun masih bergelar ODS, rakan sekerja menerima saya tanpa membeza-bezakan. Ini membuatkan saya tidak sabar untuk bebas. Program ini juga menyedarkan saya betapa ruginya jika terus membuang masa dengan dadah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pentadbir PRP Kluang Penolong Penguasa Penjara Syarifuddin Kasimin berkata sebanyak 480 ODS berada di bawah seliaannya dengan 200 daripadanya terlibat dalam PRPI, terdiri daripada mereka yang hampir tamat tempoh tahanan.

Beliau berkata pemilihan peserta program dibuat secara teliti, termasuk keperluan mempunyai disiplin tinggi serta melalui tempoh pemerhatian selama sebulan sebelum dibenarkan bekerja di luar.

“ODS yang bekerja di luar tetap dipantau anggota Jabatan Penjara. Setakat ini, di Johor terdapat lima rakan industri yang bekerjasama, iaitu J&T di Yong Peng, Syarikat Claytan Sdn Bhd di Ayer Hitam, LY Furniture di Sri Gading serta CTM Roofing Sdn Bhd dan Syarikat Alam Satu Sdn Bhd di Kluang,” katanya.

Syarifuddin berkata selain memberikan pendedahan kepada alam pekerjaan, program itu turut membantu ODS menyediakan simpanan sebagai bekalan untuk memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan.

“Selain penempatan di industri luar, ODS di PRP Kluang turut diberi latihan dalam bidang pertanian, penternakan, kulinari serta kemahiran teknikal seperti penyelenggaraan alat penyaman udara dan barangan elektrik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan