SUNGAI PETANI, 24 Mac (Bernama) -- Program pemulihan banduan melalui kategori Orang Dalam Seliaan (ODS), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Orang Diparol (ODP) yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia dilihat mampu merapatkan jurang penerimaan masyarakat terhadap bekas banduan.
Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Charin Promwichit berkata program yang dijalankan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kuala Muda sebagai contoh, memberikan peluang kepada banduan terpilih menjalani proses pemulihan secara berperingkat sebagai persediaan sebelum kembali kepada pangkuan keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata pusat berkenaan berfungsi sebagai platform peralihan dengan menyediakan pelbagai program pembangunan sahsiah, latihan kemahiran serta aktiviti kerohanian bagi membantu penghuni membina keyakinan diri dan disiplin.
“Program di luar fasiliti penjara, program dalam komuniti dan kemasyarakatan memberikan persediaan awal untuk kembali kepada pangkuan keluarga dan masyarakat. Ia dianggap soft landing mereka sebelum bebas dari penjara, mereka berpeluang bekerja, berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri di PRP Kuala Muda di sini, hari ini yang melibatkan 29 keluarga ODS.
Charin berkata pendekatan pemulihan berasaskan komuniti itu juga membantu meningkatkan penerimaan masyarakat selain mengurangkan stigma terhadap golongan berkenaan.
Beliau berkata penghuni yang menyertai program ODS, OBB dan ODP perlu memenuhi syarat tertentu yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara, sebelum dibenarkan mengikuti program itu dengan penyediaan latihan kemahiran serta peluang pekerjaan.
“Melalui pendedahan ini, mereka dapat membina semula keyakinan diri serta mempersiapkan diri untuk menjalani kehidupan yang lebih stabil bersama dengan keluarga dan masyarakat serta menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Beliau berkata penglibatan masyarakat serta majikan dalam memberikan peluang pekerjaan kepada penghuni turut memainkan peranan penting dalam membantu proses pemulihan dan reintegrasi sosial mereka.
Charin berkata pelaksanaan program pemulihan dalam komuniti juga terbukti berkesan apabila kadar pengulangan jenayah dalam kalangan penghuni yang menyertai program itu jauh lebih rendah berbanding mereka yang tidak melalui proses pemulihan dalam komuniti.
“Harapan kami kepada mereka yang menjalani program dalam masyarakat ini tidak lagi mengulangi perbuatan lama mereka, patuh pada undang-undang dan boleh menjadi warganegara yang baik, inilah harapan kami kepada mereka apabila dibebaskan nanti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial