WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PDRM KEKAL BENTENG UTAMA PERTAHAN KEAMANAN NEGARA - KPN

25/03/2026 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal utuh sebagai benteng utama dalam mempertahankan keamanan serta kestabilan negara selepas melalui lipatan sejarah dan pengorbanan selama lebih dua abad.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata di sebalik uniform biru warga pasukan, tersimpan seribu kisah keberanian, pengorbanan serta keikhlasan yang tidak pernah meminta balasan.

Beliau berkata berbekalkan kecekalan, kepakaran dan pemerkasaan teknologi serta kepolisan moden, PDRM terus melangkah gagah mendepani cabaran semasa demi memastikan kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara.

“Kami warga Sang Saka Biru akan terus berdiri teguh, setia menggalas amanah, tidak pernah gentar dan tidak akan sesekali berundur dalam memelihara keamanan serta keharmonian rakyat,” katanya dalam hantaran ucapan Selamat Hari Polis ke-219 di Facebook rasmi PDRM.

Mohd Khalid menyifatkan kepercayaan dan sokongan berterusan daripada masyarakat sebagai nadi kekuatan PDRM bagi memastikan Malaysia kekal aman, stabil serta sejahtera.

Menerusi hantaran sama, turut mengucapkan Selamat Hari Polis ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia Datin Seri Datuk Dr Munirah Che Rose dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia Datuk Zalena Mohd Ariffin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan