WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEMBUNYI BEBAN DENGAN SENYUMAN, WANITA PERLU SAYANG DIRI - PAKAR

26/03/2026 09:45 AM


From Balkish Awang

Asalnya wanita itu datang menemani anaknya yang menerima rawatan daripada pakar psikiatri, namun berakhir dengan dia meluahkan perasaan pada pakar berkenaan.

“Doktor, saya tidak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan.” Rintihan ibu berkerjaya itu dikongsikan oleh pakar perunding psikiatri di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Prof Madya Dr Ruziana Masiran dengan Bernama baru-baru ini.

Ulas beliau, antara lain, wanita berusia 30-an itu sedang membantu anaknya menangani masalah kebimbangan melampau dan enggan ke sekolah, selain pada masa sama turut menghadapi masalah dalam perkahwinan. 

“Katanya dia banyak membaca tentang masalah kesihatan mental bagi membantu anak, menyesuaikan jadual kerja dengan urusan rumah tangga, selain cuba memenuhi kehendak suami agar dapat mengurangkan kekecewaan lelaki itu. Akan tetapi, semua usahanya tidak memberikan hasil yang dikehendaki.

“Sebenarnya, dalam amalan terapi keluarga, saya bertemu dengan ramai wanita seperti ibu ini.

"Mereka berkebolehan, bijak dan sangat berdedikasi, tidak kira sama ada suri rumah sepenuh masa ataupun berkerjaya dalam bidang profesional. Mereka uruskan rumah tangga dan anak-anak yang sedang membesar, menjaga ibu bapa yang sudah tua, selain berdepan tekanan kewangan dan perkahwinan, tetapi mereka tetap kuat. Sebenarnya, wanita seperti ini sudah sangat letih," dedah beliau.

 

KELETIHAN EMOSI

Mengulas lanjut, Dr Ruziana berkata dalam mana-mana budaya, wanita diharapkan menjadi penyayang, mengutamakan perasaan orang lain serta tidak mengeluh ataupun membuka “aib” keluarga, menyebabkan ramai antara mereka memendam emosi. 

“Lama-kelamaan, mereka akan mengalami kemurungan dan kebimbangan tersembunyi serta masalah fizikal seperti keletihan dan sakit-sakit badan. Fenomena ini disebut sebagai ‘kemurungan dalam senyuman’, iaitu yang ditampilkan tidak sama dengan yang dirasakan dalam hati,” jelasnya, menambah wanita lebih mudah mengalami kemurungan dan tekanan berbanding dengan lelaki. 

Katanya, sekalipun menanggung beban emosi, wanita cenderung meneruskan peranan sosial yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka, sekali gus memperlihatkan mereka “baik-baik saja” di mata orang lain.

"Namun, ‘senyum di luar, menangis di dalam’ bukan tanda kelemahan, sebaliknya menunjukkan ketahanan emosi yang tinggi dan juga bermakna seseorang itu perlukan ruang yang selamat untuk didengari dan difahami," katanya.

 

CABARAN

Jelas Dr Ruziana lagi, tekanan mental yang dialami wanita di Malaysia hari ini berpunca daripada pelbagai faktor dengan konflik antara peranan tradisional dan moden sebagai penyebab utama.

“Walaupun semakin ramai wanita bekerja, mereka tetap diharapkan memikul tanggungjawab utama dalam keluarga. Konflik kerja dan keluarga dikenal pasti sebagai satu daripada punca tekanan mental bagi wanita bekerja. 

"Di era digital, batas antara kerja dan kehidupan peribadi juga semakin tidak jelas. Komunikasi kerja melalui aplikasi mesej, e-mel dan mesyuarat dalam talian menyukarkan wanita untuk benar-benar berehat daripada tuntutan kerja walaupun di rumah," katanya.

pic-2

Tambah beliau,  perubahan dalam budaya kerja dan ekonomi digital juga menokok tekanan pada wanita, kerana mereka perlu sentiasa belajar kemahiran teknologi baharu, bersaing dalam pasaran kerja yang tidak stabil serta membuktikan kemampuan mereka di tempat kerja. 

Di sebalik tekanan yang dihadapi, beliau berkata ramai daripada wanita berkerjaya enggan “bercerita” kerana takut dianggap lemah dan menjejaskan peluang meningkatkan diri dalam kerjaya.

Selain itu, perkembangan media sosial yang menguasai masyarakat dewasa ini turut menambah tekanan pada wanita apabila terlalu kerap dihidangkan dengan “kesempurnaan dan kebahagiaan” yang dinikmati oleh wanita lain.

"Mereka mudah membandingkan diri dengan kehidupan orang lain yang nampak sempurna di Internet, selain berasa dihakimi dari segi penampilan, cara membesarkan anak dan kejayaan karier. Tekanan untuk kelihatan berjaya di media sosial boleh menambah beban emosi," katanya.

Menurutnya, penat seorang ibu berkerjaya tidak terhenti di pejabat kerana apabila tiba di rumah pelbagai tugas sebagai isteri dan ibu sedang menunggu.

 "Kehidupan wanita penuh dengan cabaran dan sangat kompleks. Bagi wanita yang bekerja, hari mereka biasanya bermula seawal pagi, mengurus anak dan rumah tangga sebelum menghadap kesesakan lalu lintas yang panjang untuk mencari rezeki. Sampai di tempat kerja, mereka perlu memenuhi tuntutan prestasi dan tanggungjawab profesional.

“Bila pulang ke rumah tugas sebagai ibu, isteri dan pengurus keluarga pula menanti. Akibatnya ramai wanita mengalami keletihan fizikal dan emosi yang berpanjangan dengan masa yang sangat terhad untuk berehat atau menjaga diri sendiri,” katanya.

Bagi ibu tunggal pula kata Dr Ruziana, cabaran lebih berat kerana mereka perlu membesarkan anak sendirian selain berdepan dengan pelbagai lagi masalah termasuk sikap bekas suami yang mungkin culas dalam melunaskan nafkah anak.

"Keadaan ini menunjukkan ketahanan luar biasa wanita, tetapi pada masa sama mereka sangat memerlukan sokongan daripada keluarga, masyarakat dan sistem sosial supaya kesejahteraan mental mereka lebih terjaga," katanya.

 

KESAN KEPADA TUBUH BADAN

Dr Ruziana berkata tekanan emosi dan mental mampu memberi kesan langsung kepada sistem kardiovaskular wanita, kerana hormon stres seperti kortisol dan adrenalin yang dikeluarkan secara berterusan boleh meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan degupan jantung tidak teratur, dan seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok. 

Jelas beliau, sistem hormon wanita sangat sensitif terhadap stres, dan sekiranya seseorang itu mengalami tekanan berpanjangan kitaran haid boleh terganggu, menjadi tidak teratur atau terhenti. 

"Keadaan sakit puan seperti polycystic ovarian syndrome (PCOS) juga boleh menjadi lebih teruk dan kesuburan turut terjejas. Dari segi imuniti, tahap kortisol yang tinggi boleh melemahkan sistem pertahanan badan menyebabkan wanita lebih mudah jatuh sakit. 

"Ini membimbangkan kerana penyakit autoimun seperti lupus dan masalah tiroid lebih kerap berlaku pada wanita dan stres boleh memburukkan keadaan itu," katanya.

Selain itu, Dr Ruziana berkata tekanan mental juga berupaya menjejaskan sistem penghadaman dan tidur, mengalami sakit perut atau perubahan selera makan.

"Dalam jangka panjang, tahap kortisol yang tinggi boleh mengurangkan kepadatan tulang dan meningkatkan risiko osteoporosis, selain turut menyebabkan sakit kepala, migrain dan ketegangan otot yang berterusan," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati kaum Hawa agar mendapatkan bantuan profesional jika masalah emosi mula mengganggu kehidupan harian dengan gejala seperti rasa sedih, cemas atau mudah marah yang berlarutan selama beberapa minggu.

"Jika emosi sukar dikawal, menjauhkan diri daripada orang tersayang, berasa putus asa atau berfikir bahawa hidup tidak bermakna ini juga petanda serius yang perlu diberi perhatian.

“Dapatkan bantuan segera jika ada keinginan untuk mencederakan diri atau orang lain atau mula bergantung pada alkohol, dadah atau bahan lain untuk mengatasi tekanan,” katanya.

Pada masa sama,  Dr Ruziana berkata keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan dengan memberikan sepenuh sokongan kepada wanita terbabit.

"Sokongan itu meliputi mendengar tanpa menghakimi, memberi ruang untuk dia meluahkan perasaan dan tidak memperlekeh apa yang mereka lalui. Ahli keluarga juga boleh membantu dengan berkongsi tugas rumah dan menjaga anak, kerana beban berganda ini sering menjadi punca utama tekanan wanita. 

"Sokongan di rumah sangat membantu proses pemulihan dan kekuatan mental mereka," katanya, menambah menyokong kesejahteraan emosi wanita bukan hanya urusan peribadi dan keluarga tetapi turut menjadi tanggungjawab masyarakat dan negara. 

Ketika ini, kata pakar itu, stigma kesihatan mental dalam masyarakat masih kuat menyebabkan ramai wanita memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan bantuan. 

"Masyarakat  turut berperanan mewujudkan persekitaran yang selamat dan tidak menghakimi.Jiran, rakan sekerja, pertubuhan wanita dan pemimpin masyarakat boleh membantu dengan membuka perbualan tentang kesihatan mental, berkongsi maklumat tepat dan menawarkan bantuan tanpa menunggu diminta," katanya.

 

Artikel ini bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan