WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SRIKANDI APM TERENGGANU JINAK ULAR DEMI KESELAMATAN MASYARAKAT

26/03/2026 11:08 AM

Oleh Balqis Jamaludin

KUALA NERUS, 26 Mac (Bernama) -- Bagi kebanyakan individu, kelibat ular cukup untuk mencetuskan rasa gerun, namun untuk srikandi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, reptilia berbisa itu sebahagian daripada tugasan dalam menjaga keselamatan masyarakat.

Sepanjang 16 tahun berkhidmat, Leftenan Muda (PA) Farah Nadia Abdullah telah mengendalikan lebih 700 tangkapan pelbagai spesies ular termasuk yang sangat berbisa dan berbahaya seperti tedung selar, tedung senduk serta ular sawa batik.

Wanita 38 tahun yang bertugas di APM Kuala Nerus berkata selain keberanian, kemahiran memahami pergerakan dan tingkah laku reptilia itu kunci utama dalam memastikan setiap operasi berjalan lancar tanpa kecederaan kepada anggota mahupun orang awam.

“Saya belajar daripada seorang rakan yang mahir menangkap ular mengenai cara memahami tingkah laku dan menjinakkan ular. Apabila menerima panggilan kecemasan, saya akan bertanya sama ada ular pernah dipukul kerana ia akan lebih agresif.

“Di lokasi, saya akan melihat dahulu kedudukan dan pergerakan ular bagi menentukan ia agresif atau tidak. Bagi saya antara paling susah dikendalikan ialah ular tedung selar kerana bersifat ganas dan pergerakan yang terlalu cepat,” katanya kepada Bernama. 

Farah Nadia berkata selain minat mendalam terhadap reptilia itu sejak kecil, kemahiran menangkap ular juga diwarisi daripada arwah datuknya Tahir Bidin yang juga penangkap ular terkenal.

Berbekalkan bakat semula jadi dan latihan profesional di APM, Farah Nadia membuktikan golongan wanita mampu memberi sumbangan cemerlang dalam bidang keselamatan yang didominasi lelaki.

Semangat sama turut dikongsi Staf Muda (PA) Nurin Qurratu Ain Norrozi yang tidak berasa takut terhadap ular sejak kecil sekali gus memudahkannya melaksanakan tugasan.

Nurin Qurratu Ain berkata setiap anggota baharu APM akan dibimbing pegawai berpengalaman untuk mengendalikan ular sebelum dibenarkan menyertai operasi sebenar.

“Kami dilatih secara berperingkat. Sebelum turun operasi, anggota senior akan mengajar cara memegang, mengawal ular dan aspek keselamatan diri serta orang awam,” katanya.

Sejak menyertai APM selepas tamat pengajian di Politeknik Besut pada 2022, Nurin Qurratu Ain telah terlibat dalam ratusan operasi menangkap dan memindahkan ular termasuk yang berbisa serta bersaiz besar.

Gadis bertubuh kecil yang mempunyai hobi menggubah bunga itu mengakui pada peringkat awal, ibu bapanya sukar memberi izin untuk menyertai APM selain berhadapan stigma masyarakat.

“Ada segelintir individu mempertikaikan keputusan saya menyertai APM kerana berpandangan wanita lebih sesuai di pejabat. Ibu dan ayah juga risau setiap kali saya keluar bekerja kerana terdedah dengan pelbagai risiko termasuk ular berbisa.

“Namun saya berjaya meyakinkan mereka tentang minat dalam bidang ini dan hasrat membantu seberapa banyak orang yang boleh. Saya berjanji sentiasa menjaga diri dan akhirnya ibu dan ayah faham, seterusnya membenarkan untuk terus bekerja dalam bidang ini,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) APM Terengganu Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin berkata terdapat 100 anggota wanita di negeri itu dengan hampir semua mempunyai kemahiran mengendalikan haiwan berbisa. 

Beliau berkata semua anggota baharu APM perlu mengikuti pelbagai kursus termasuk kursus asas dan pengendalian haiwan berbisa sama ada di pusat latihan negeri atau ibu pejabat APM.

“Melalui pendekatan ini, anggota baharu didedahkan kepada aspek pemerhatian pada peringkat awal sebelum diberi kepercayaan mengendalikan operasi berdasarkan pengalaman dan kecekapan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan