WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IRMOHIZAM DILANTIK PENGERUSI MAJLIS PENASIHAT KORPORAT KUMPULAN RANCHAN MARITIME

26/03/2026 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Korporat Kumpulan Ranchan Maritime Sdn Bhd.

Ranchan Maritime dimiliki oleh Nova Marine Carriers yang beribu pejabat di Lugano, Switzerland dan antara syarikat perkapalan pengangkut simen terbesar dunia dengan rangkaian operasi global yang menyokong pembangunan industri merentas pelbagai rantau.  

WTCKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Irmohizam itu merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran serta pengalaman luas beliau dalam memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa.

"Peranan baharu ini dijangka membuka peluang kolaborasi rentas sempadan serta memperkukuh hubungan antara sektor perdagangan, logistik, dan pembangunan ekonomi.

"Sejajar dengan penglibatan aktif beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA), pelantikan ini dilihat memperkukuh peranan WTCKL sebagai platform strategik menghubungkan komuniti perniagaan global, sekali gus memacu pembangunan sektor pameran dan konvensyen tanah air," menurut kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan berkenaan juga memaklumkan pelantikan itu dijangka membuka ruang kepada projek berskala besar dan inisiatif kolaboratif bersama Nova Marine Carriers yang berpotensi menyokong pertumbuhan ekonomi melalui sektor acara perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, Irmohizam dalam kenyataan sama menyifatkan pelantikan itu sebagai peluang untuk menarik lebih banyak acara perniagaan antarabangsa dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab industri acara perniagaan berdaya saing di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

"Amanah ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh jaringan global," katanya.

WTCKL merupakan pusat acara perniagaan terkemuka di Malaysia dan merupakan Ahli Akreditasi Premier WTCA yang menawarkan kemudahan infrastruktur moden bagi hubungan perniagaan global.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan