KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia kekal berpendirian sebarang inisiatif ke arah menghentikan pertumpahan darah dan memulihkan kestabilan di Asia Barat wajar disokong sepenuhnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan pendirian itu dizahirkan dalam perbualan telefon beliau bersama rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini.
Beliau berkata Malaysia turut menyambut baik peranan mediasi yang dimainkan Pakistan dalam meredakan ketegangan konflik di rantau tersebut, termasuk usaha mempertemukan pihak berkepentingan.
"Kami turut mengambil kesempatan bertukar ucapan Aidilfitri, sambil mendoakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh rakyat di kedua-dua negara," katanya.
Semalam, Anwar menerusi satu video menyatakan bahawa Malaysia menyambut baik tawaran Pakistan untuk menganjurkan dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang disifatkan bertepatan pada masanya dan konstruktif ketika ketegangan yang kian meruncing.
Menerusi video itu, Anwar memuji rakan sejawatnya Shehbaz serta pemimpin negara-negara lain termasuk Oman yang tampil membantu mempermudah usaha diplomasi.
Ketegangan terus memuncak sejak Amerika Syarikat dsan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial