WILAYAH - TENGAH > BERITA

WAH SENG DISTRIBUTION CENTRE GUDANG PERTAMA RAIH PENARAFAN GREENRE PLATINUM

26/03/2026 09:58 PM

IPOH, 26 Mac (Bernama) -- Wah Seng (1986) Distribution Centre yang terletak di Taman Maju Rapat di sini merupakan gudang pertama di negara ini menerima perakuan penarafan GreenRE Platinum.

Wah Seng (1986) Sdn Bhd, pembekal barangan runcit dan makanan borong yang berpusat di Ipoh sejak 1950-an merupakan pembekal pelbagai produk tenusu, daging sejuk beku, bahan bakeri kepada lebih 800 buah hotel, restoran serta kafe di sekitar Perak dan Cameron Highlands, Pahang.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Wah Seng (1986) Sdn Bhd Shaun Lai berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira RM9 juta bagi mengubah suai serta menambah baik gudang berkenaan yang dilaksanakan secara berperingkat sejak tiga tahun lepas.

Beliau berkata proses itu bermula dengan mengubah suai bangunan yang dibina khas dengan kemampanan daripada segi reka bentuk sehingga operasi dengan mengintegrasikan strategi canggih merentasi pengurusan tenaga, air dan karbon.

Ini sekali gus mengurangkan kesan alam sekitar dengan ketara sambil meningkatkan kecekapan operasi, katanya.

"Ciri-ciri bangunan hijau yang dilaksanakan memberi penjimatan tenaga keseluruhan sebanyak 15 peratus yang disokong oleh reka bentuk dan sistem bangunan berprestasi tinggi serta pemasangan Solar Fotovoltaik (PV).

"Selain itu, pengurangan penggunaan air sebanyak 57.53 peratus melalui kelengkapan yang cekap dan penuaian air hujan selain pengurangan pelepasan karbon dengan penanaman pokok di sekitar kawasan gudang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian penarafan GreenRE Platinum kepada Wah Seng (1986) Distribution Centre di sini hari ini.

Shaun berkata sebagai perniagaan generasi ketiga, pihaknya menyedari bahawa kecekapan, kemampanan dan tanggungjawab perlu seiring supaya Wah Seng dapat terus beroperasi untuk generasi yang akan datang.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif GreenRE Ir Ashwin Thurairajah berkata pihaknya mengambil masa beberapa bulan untuk menilai dengan memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga, penyahkarbonan industri dan diiktiraf sebagai standard tertinggi untuk reka bentuk bangunan lestari.

"Lebih 100 senarai semak yang kita telah semak dan nilai serta hasilnya, Wah Seng Distribution Centre ini layak menerima penarafan tertinggi kerana memenuhi kriteria yang telah ditetapkan," katanya.

Penarafan GreenRE Platinum merupakan pengiktirafan tertinggi bagi kelestarian bangunan di Malaysia yang ditubuhkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Ia diberikan kepada bangunan yang mencapai lebih 90 mata dalam kecekapan tenaga, penggunaan air dan kualiti persekitaran dalaman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan