WILAYAH - TIMUR > BERITA

PENYALAHGUNAAN DADAH ANTARA FAKTOR GANGGUAN MENTAL - PAKAR PSIKIATRI

27/03/2026 12:38 PM

Oleh Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 27 Mac (Bernama) -- Penyalahgunaan dadah dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kes gangguan mental di negeri ini, kata Pakar Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr. Nik Lili Ariantie Ahmad.

Beliau berkata berdasarkan data hospital itu sepanjang tahun lepas, seramai 543 pesakit yang hadir ke klinik pakar psikiatri didapati mempunyai masalah ketagihan yang disertai gejala gangguan mental.

“Berdasarkan data tahun lalu juga, terdapat 31 kes dirujuk ke klinik ketagihan kerana mempunyai masalah penyalahgunaan dadah serta mengalami gejala gangguan mental. Pesakit ini akan diberi rawatan dan perlu hadir ke klinik secara berkala untuk rawatan susulan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi pesakit yang dimasukkan ke wad psikiatri pula, Dr Nik Lili berkata dianggarkan hampir separuh daripada jumlah mereka mempunyai masalah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

Beliau berkata kebanyakan pesakit yang dirawat adalah dalam kalangan golongan dewasa, namun terdapat juga kes melibatkan remaja yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu, epam serta cecair vape “mushroom”.

Dr Nik Lili berkata dalam kes tertentu, penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan kerosakan fungsi otak, terutama jika ia berlaku pada usia muda atau melibatkan bahan seperti gam yang memberi kesan toksik kepada sistem saraf.

Beliau berkata penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine yang menyebabkan individu tidak tidur sehingga empat atau lima hari juga berpotensi mencetuskan episod psikotik termasuk halusinasi dan delusi.

Mengulas tanggapan bahawa pesakit mental akibat penyalahgunaan dadah tidak lagi ketagih atau mengingati bahan tersebut, beliau berkata perkara itu tidak semestinya benar.

“Ada pesakit yang masih menggunakan dadah walaupun sudah mendapatkan rawatan. Ketagihan itu sendiri adalah satu penyakit dan apabila mereka gagal berhenti, gejala gangguan mental boleh menjadi semakin teruk.

“Dalam sesetengah keadaan, pesakit tersilap langkah dengan mengambil semula bahan terlarang bagi mengurangkan gejala seperti keresahan atau kemurungan, namun tindakan itu akhirnya memburukkan lagi keadaan kesihatan mental mereka,” katanya.

Dr Nik Lili berkata gangguan mental akibat dadah boleh berlaku pada beberapa peringkat termasuk ketika individu masih mengambil bahan tersebut atau semasa fasa penarikan, iaitu proses berhenti daripada penggunaan dadah.

“Sama ada seseorang itu boleh pulih sepenuhnya bergantung kepada tempoh pengambilan, jenis dadah serta faktor lain termasuk sokongan keluarga dan rawatan berterusan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rawatan awal jika mengalami gejala gangguan mental serta tidak memandang ringan kesan penyalahgunaan dadah terhadap kesihatan mental.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan