WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAC 2026: HERRY MINTA AARON–WOOI YIK JANGAN FIKIR SOAL PERTAHAN KEJUARAAN

27/03/2026 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Ketua Jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mengingatkan pasangan negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik supaya tidak terlalu memikirkan soal mahu mempertahankan kejuaraan Badminton Asia (BAC) yang dimenangi mereka, tahun lepas.

Sebaliknya, Herry menyarankan agar pasangan yang menghuni ranking kedua dunia itu mengambil pendekatan berhati-hati dalam setiap perlawanan yang bakal ditempuhi bermula daripada pusingan pertama.

“Mempertahankan kejuaraan itu sudah tentu lagi berat. Jadi, saya berharap Aaron–Wooi Yik fokus satu demi satu perlawanan dan jangan fikir langsung tentang final.

“Hal ini kerana lawan mereka pada pusingan pertama bukan pasangan yang mudah untuk dikalahkan. Jadi, lebih bagus mereka memberikan fokus daripada satu perlawanan kepada satu perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Pada BAC 2026 yang berlangsung di Ningbo, China awal bulan depan, bekas juara dunia itu yang diletakkan sebagai pilihan kedua bakal membuka tirai kejohanan bertemu dengan pasangan Taiwan Chiu Hsiang Chieh–Wang Chi Lin.

Dalam pada itu, Herry berkata beliau akan menggunakan analisis video bagi membantu pasangan negara itu untuk mengurangkan kesilapan ketika turun beraksi pada kejohanan berkenaan.

Beliau berkata pendekatan pembelajaran visual menerusi rakaman video dijangka memberikan impak yang lebih positif berbanding menggunakan arahan secara lisan.

“Biasanya sebelum kejohanan, kita nilai pemain menerusi rakaman video aksi mereka sebelum ini. Kalau kita sekadar bercakap kepada pemain, mereka akan dengar, tetapi kalau tayangkan video, mata mereka juga akan fokus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan