WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA AHLI MPPWP WANGSA MAJU DIARAH LETAK JAWATAN SUSULAN VIDEO TULAR

28/03/2026 12:19 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju diarahkan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta susulan video tular berkaitan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin berkata keputusan terhadap R Vijeyndran dan G Paarthiydasan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi memberikan laluan sepenuhnya kepada proses siasatan polis serta siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan.

“Parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa. Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri.

“Biro Politik juga mengarahkan Jawatankuasa Disiplin PKR Wilayah Persekutuan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan melaporkan dapatan kepada Biro Politik dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata Biro Politik PKR turut mengingatkan semua ahli dan wakil parti bahawa kedudukan sebagai wakil penduduk adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Sebarang penyelewengan akan ditangani dengan tegas tanpa kompromi. PKR akan terus memperjuangkan tadbir urus yang bersih, telus dan berkeadilan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Biro Politik menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya terus memantau aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju dengan lebih teliti bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan, undang-undang atau syarat lesen premis berlaku

Terdahulu, tular melalui media sosial satu video memaparkan dua individu, yang didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan dipercayai di ibu negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan