WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JURANG HARGA DIESEL GAMBARKAN REALITI STRUKTUR, SEIRING DENGAN DASAR NEGARA - CILTM

28/03/2026 09:36 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 28 Mac (Bernama) -- Institut Logistik dan Pengangkutan Berkanun Malaysia (CILTM) Cawangan Sabah menyokong pendekatan kerajaan Persekutuan dalam menangani perbezaan harga diesel antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan menegaskan bahawa struktur harga itu mencerminkan realiti struktur dan logistik asas, bukannya layanan keutamaan.

Pengerusi CILTM Sabah Daniel Doughty berkata Sabah beroperasi dalam persekitaran rantaian bekalan yang berbeza secara asas, dengan kos pengagihan bahan api adalah jauh lebih tinggi berikutan faktor geografi, rangkaian yang tidak berpusat serta skala ekonomi yang lebih kecil.

“Pengagihan bahan api di Sabah melibatkan rantaian logistik pelbagai mod, daripada loji penapisan ke pelabuhan utama, seterusnya ke pelabuhan sekunder, dan akhirnya pengedaran ke kawasan pedalaman yang berselerak, berbanding sistem lebih bersepadu dan berjumlah tinggi di Semenanjung Malaysia.

“Pemerhatian industri menunjukkan kos logistik dan pengagihan di Sabah boleh menjadi dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi bagi setiap liter, didorong oleh kebergantungan kepada pengangkutan pelbagai peringkat, jumlah pengendalian yang lebih rendah bagi setiap nod, serta kos penghantaran peringkat akhir yang lebih tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ini merupakan keadaan struktur yang sememangnya wujud dalam landskap logistik Sabah. Mekanisme harga yang diguna pakai kerajaan Persekutuan mengambil kira dinamik kos penyampaian bagi memastikan perniagaan dan pengguna tidak menanggung beban secara tidak seimbang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata tanpa langkah penentukuran sedemikian, kos tambahan akibat kerumitan logistik yang lebih tinggi pasti akan dipindahkan sepanjang rantaian bekalan, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

Katanya harga bahan api memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan kos tersebut, khususnya dalam sektor yang sangat bergantung kepada diesel.

Pendekatan harga semasa berfungsi sebagai mekanisme penstabil dalam kerangka ekonomi negara yang lebih luas, sekali gus memastikan barangan keperluan, aktiviti pembinaan serta perusahaan kecil dan sederhana, khususnya di kawasan luar bandar, kekal mampan, kata beliau.

Menurut Daughty, langkah dasar yang mengambil kira struktur kos mengikut wilayah amat penting bagi memastikan pembangunan seimbang di seluruh Persekutuan.

Penetapan harga seragam tanpa mengambil kira perbezaan ini akan membawa kepada hasil ekonomi yang tidak seimbang, katanya.

Doughty berkata struktur harga diesel di Malaysia Timur mencerminkan pelarasan ekonomi yang perlu dan selaras dengan objektif dasar negara, sekali gus menekankan kepentingan pemahaman awam yang lebih mendalam mengenai struktur kos logistik dalam membentuk dasar yang berkesan dan adil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan