Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Langkah strategik kerajaan menyelaras sementara mekanisme subsidi bahan api dilihat sebagai usaha mencari titik keseimbangan antara kebajikan rakyat dan disiplin fiskal negara dalam berdepan kesan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata penyelarasan sementara Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 1 April ini disifatkan langkah penting ke arah subsidi bersasar bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan sumber fiskal digunakan secara optimum.
Beliau berkata secara prinsipnya langkah ini boleh dianggap tepat dan bersifat responsif, terutama dalam konteks ketidaktentuan harga tenaga global.
“Krisis Asia Barat memberi tekanan kepada harga tenaga global yang bersifat luaran dan langkah kerajaan ini dilihat mampu mengurangkan impak secara relatif, bukan menghapuskannya sepenuhnya.
“Intervensi seperti subsidi bersasar dan kawalan harga membantu menyerap sebahagian kejutan kos, khususnya kepada golongan rentan...dalam keadaan ekonomi ketika ini subsidi pukal tidak lagi mampan, maka peralihan kepada subsidi bersasar adalah langkah reformasi yang perlu, walaupun tidak popular,” katanya kepada Bernama.
Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa langkah strategik negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, antaranya harga subsidi petrol BUDI95 dikekalkan RM1.99 seliter dengan penyelarasan sementara kuota bulanan daripada 300 liter kepada 200 liter.
Selain itu, had siling subsidi bersasar petrol RON95 bagi e-hailing dan pekerja gig juga dikekalkan hingga 800 liter, sementara rakyat di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada RM2.15 seliter dan sektor perkhidmatan awam dibolehkan untuk bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata penyelarasan sementara BUDI95 bagimanapun akan berdepan cabaran tersendiri termasuk wujud kumpulan ‘tersepit’ yang tidak miskin secara statistik tetapi terkesan secara nyata kerana isu penggunaan melebihi 300 liter.
Justeru, beliau berpandangan adalah wajar kerajaan mempertimbangkan mekanisme rayuan atau fleksibiliti bersyarat, agar dasar ini kekal adil tanpa menjejaskan objektif penjimatan fiskal, selain menegaskan bahawa pendekatan berkenaan mencerminkan reformasi subsidi yang perlu dilaksanakan dalam keadaan ekonomi semasa.
“Cabarannya ialah memastikan legitimasi sosial dasar ini kekal tinggi, supaya rakyat memahami rasional di sebalik pengorbanan jangka pendek,” katanya.
Beliau berkata dalam masa sama, tindakan segelintir pihak yang memainkan sentimen seolah-olah kerajaan mengabaikan rakyat boleh mengganggu persepsi awam dan menjejaskan keyakinan ekonomi.
Dalam situasi krisis, Mujibu berkata naratif yang tidak berasaskan fakta boleh mencetuskan ketidakstabilan psikologi pasaran, oleh itu penting untuk semua pihak mengamalkan wacana berasaskan data dan tanggungjawab bersama bukan sekadar retorik politik.
Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpandangan keputusan mengekalkan harga subsidi BUDI95 adalah langkah penting dalam melindungi pengguna daripada kesan rantaian kenaikan harga, sekali gus membantu mengekang tekanan kos sara hidup dalam keadaan ketidaktentuan harga bahan api global.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Dr T Saravanan berkata secara keseluruhan langkah tersebut mampu memberi kelegaan jangka pendek dan menstabilkan sentimen pengguna, namun penyelesaian jangka panjang memerlukan pembaharuan struktur yang lebih menyeluruh dalam dasar subsidi dan pengurusan kos sara hidup.
Sehubungan itu, beliau berkata penambahbaikan dari segi penyasaran subsidi dan penggunaan data bersepadu amat diperlukan bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan kerana terdapat golongan yang tercicir, khususnya dalam kalangan M40 dan pekerja informal.
“Bagi Sabah dan Sarawak, pengekalan harga diesel adalah kritikal untuk mengawal kos logistik dan mengelakkan kenaikan harga barang. Isu struktur seperti kecekapan rantaian bekalan dan peranan orang tengah juga perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya.
Saravanan berkata dalam situasi semasa, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mungkin tidak dapat dielakkan tetapi sebarang kenaikan yang tidak munasabah atau berunsur pencatutan harus diberi perhatian serius dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Berkongsi pandangan sama, penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata dalam keadaan semasa, kerajaan sedang cuba menyeimbangkan tiga tuntutan yang saling bertembung iaitu melindungi rakyat, mengawal defisit fiskal dan memastikan bekalan bahan api terus stabil.
Beliau berkata dari sudut ekonomi awam, langkah itu mempunyai logik yang jelas kerana kerajaan sedang berdepan lonjakan bil subsidi yang sangat cepat.
Menjelaskan lebih lanjut, Zainizam yang juga Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata dari sudut pengguna kesan penyelarasan sementara itu tidak sama antara semua golongan.
Beliau berkata dengan penjelasan hampir 90 peratus rakyat yang layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan dan dengan purata penggunaan sekitar 100 liter sebulan, ini bermakna majoriti pengguna tidak akan terkesan secara langsung.
“Bagaimanapun, bagi kumpulan yang benar-benar memerlukan perjalanan jauh setiap hari, seperti pekerja ulang-alik rentas daerah, isi rumah luar bandar, atau mereka yang bergantung besar kepada kenderaan persendirian kerana kekangan pengangkutan awam, beban tambahan akan dirasai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial