WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WARGA CHINA DITAHAN RAKAM VIDEO DALAM TANDAS PUSAT BELI-BELAH DI BUKIT JALIL

28/03/2026 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga China kerana berkelakuan tidak senonoh apabila bertindak merakam seorang lelaki tempatan di tandas pusat beli-belah di Bukit Jalil, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud berkata suspek yang berumur lingkungan 20-an ditahan pada 1.28 tengah hari selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata insiden pada 11 pagi itu berlaku ketika mangsa berada di tandas lelaki tingkat empat premis berkenaan sebelum menyedari suspek cuba melakukan rakaman menggunakan telefon bimbit dari petak bersebelahan.

“Hasil tangkapan, polis merampas telefon bimbit suspek dan pemeriksaan awal menemukan beberapa video lucah dalam galerinya,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam insiden itu, selain tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek direman 14 hari di bawah Akta Imigresen bermula 27 Mac hingga 9 April bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan