WILAYAH - SARAWAK > BERITA

S PAY GLOBAL PACU GAYA HIDUP TANPA TUNAI DI SARAWAK

30/03/2026 10:50 AM

Oleh ZAPHNE PHILIP

KUCHING, 30 Mac (Bernama) -- Kemajuan teknologi kewangan kini mempermudahkan urusan harian orang ramai apabila aplikasi pembayaran digital seperti S PAY GLOBAL semakin menjadi pilihan utama pengguna di Sarawak bagi pelbagai jenis transaksi.

Bermula dengan nama SarawakPay sebelum dijenamakan semula sebagai S PAY GLOBAL, aplikasi e-dompet ini dibangunkan oleh SiliconNet Technologies Sdn Bhd yang diperkenalkan pada 2017 sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan.

Sejak diperkenalkan, S PAY GLOBAL yang juga satu inisiatif penting Kerajaan Negeri Sarawak terus berkembang dengan penambahan pelbagai fungsi serta mendapat mandat untuk menyalurkan bantuan-bantuan kerajaan negeri kepada rakyat, sekali gus menggalakkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

Pengguna S PAY GLOBAL Kelvin Liew You Hong, 36, berkata aplikasi itu banyak membantunya dalam menguruskan komitmen bulanan dengan lebih teratur dan pantas.

“Saya gunakan aplikasi ini untuk membayar bil air, telco dan Astro. Semuanya boleh dibuat dalam satu aplikasi sahaja, jadi sangat menjimatkan masa dan lebih mudah tanpa perlu beratur atau menunggu giliran di kaunter,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Aplikasi S PAY GLOBAL ini juga membolehkan pengguna melaksanakan pelbagai urus niaga tanpa tunai termasuk pembayaran bil utiliti, pembelian dalam talian, pemindahan wang serta pembayaran melalui kod QR di premis perniagaan.

Menyokong beberapa matlamat utama pelaksanaan perkhidmatan itu, antaranya memperkasa ekonomi digital tanpa tunai melalui sistem pembayaran yang selamat dan inklusif, perkhidmatan berkenaan juga merangkumi kawasan bandar serta luar bandar di Sarawak.

Azureen Abdul Kadir, 33, berkata beliau lebih gemar membuat pembayaran menggunakan fungsi kod QR yang disediakan oleh aplikasi itu kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa.

“Sekarang kebanyakan kedai sudah menggunakan kod QR, jadi saya hanya perlu imbas dan terus membuat bayaran tanpa perlu membawa wang tunai.

“Ia bukan sahaja lebih praktikal, malah memberi rasa lebih selamat kerana tidak perlu risau tentang kehilangan wang atau baki kecil,” katanya, sambil menambah ia juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai dalam kehidupan seharian.

Azureen berkata beliau juga menggunakan kemudahan aplikasi itu sepenuhnya untuk membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain transaksi harian kerana dengan hanya beberapa klik sudah cukup untuk menyelesaikan pembayaran.

Kini, S PAY GLOBAL mempunyai 1.6 juta pengguna berdaftar, sekali gus memacu penggunaan transaksi tanpa tunai di seluruh Sarawak serta berkembang melangkaui sempadan negeri.

Aplikasi ini terus mencerminkan evolusi berterusan dalam perkhidmatan kewangan digital, termasuk melangkaui penggunaan domestik melalui integrasi dengan rangkaian pembayaran seperti UnionPay dan DuitNow.

Usaha itu juga menyokong pertumbuhan e-dagang serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan kemudahan pembayaran digital dan infrastruktur yang lebih meluas kepada perniagaan tempatan serta komuniti luar bandar yang tidak mempunyai akses perbankan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan