ALOR SETAR, 30 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan menahan 10 lelaki termasuk seorang wartawan portal bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menceroboh masuk ke tapak pembinaan kilang di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim pada Rabu lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata lapan daripada mereka ditahan pada Sabtu lepas, manakala dua lagi ditahan hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menceroboh harta benda atau tanah persendirian secara jenayah.
“Pada 26 Mac lepas, sekitar 3.15 petang, dianggarkan sebanyak 10 hingga 12 individu yang menaiki lapan kereta telah menerjah masuk ke tapak kilang berkenaan yang sedang dalam pembinaan.
“Dua pengawal keselamatan yang bertugas di situ telah menghalang mereka daripada memasuki kawasan tapak, namun tidak diendahkan. Mereka tidak berpuas hati dan mempertikaikan tindakan mengambil pekerja luar sedangkan masih ramai pekerja tempatan yang layak bekerja di situ,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Beliau berkata lapan individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua yang ditahan hari ini akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.
Media sebelum ini melaporkan seorang wartawan portal berita Tamil, Thinathanti, Kalidas Subramaniom ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berhubung dakwaan menceroboh ketika membuat liputan berkaitan pendatang tanpa izin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial