WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CUACA PANAS: PDPR TIDAK JEJAS PEMBELAJARAN - WONG

30/03/2026 02:36 PM

TAIPING, 30 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan cuaca panas tidak akan menjejaskan pembelajaran murid, sebaliknya kekal berkesan seperti pembelajaran secara fizikal, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata pendekatan PdPR bukan sesuatu yang baharu, malah telah dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 serta dalam beberapa situasi luar jangka seperti bencana alam, sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam memastikan kesinambungan pendidikan.

“Sememangnya pembelajaran secara PdPR ini bukan asing bagi kita, ia telah pun bermula sejak zaman COVID dahulu. Pada tahun lepas juga ada bencana ribut berlaku di Selangor, ada beberapa sekolah pun kita adakan PdPR untuk tempoh lebih sebulan. 

“PdPR tidak menjadi satu masalah, tapi apa yang penting apabila kita hendak menangani isu ini, kita hendak memastikan kesihatan dan kebajikan anak-anak kita diberikan keutamaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Upacara Mengangkat Sumpah Majlis Perbandaran Taiping di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Mohamed Akmal Dahalan. 

Wong menegaskan bahawa setiap pelaksanaan PdPR akan dipastikan berjalan secara berkesan, selain memaklumkan pihak sekolah sentiasa bersedia sama ada untuk melaksanakan PdPR atau pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di dalam kelas mengikut kepada keperluan sekolah tersebut.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini Kementerian Pendidikan tidak menerima sebarang laporan kes strok haba melibatkan murid di sekolah.

Sabtu lepas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan pelaksanaan PdPR selama tiga hari bermula semalam sehingga esok. 

Pelaksanaan PdPR itu melibatkan 206 sekolah di Kota Setar dan Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan bacaan suhu harian gelombang haba pada Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan