WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEMBILAN PROJEK SIJIL PEMULIHARAAN HUTAN DILULUSKAN, SASAR KUMPUL DANA RM30.2 JUTA

30/03/2026 04:24 PM

SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Sebanyak sembilan projek pemuliharaan daripada 29 permohonan di bawah  instrumen Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) telah disemak semula dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat bebas untuk pengumpulan dana.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata projek yang diluluskan itu disasar mengumpulkan kira-kira RM30.2 juta, menandakan saluran inisiatif pemuliharaan didorong impak yang  boleh disertai dan disokong korporat.

Beliau berkata sembilan projek itu akan merangkumi kerja pemuliharaan hutan seperti penghutanan semula, persempadanan semula hutan, pembersihan sungai di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Kita masih lagi mempunyai funding gap (jurang pembiayaan) lebih daripada RM1.4 bilion untuk memastikan usaha konservasi kita dapat menghasilkan apa dimahukan…dan kita harap melalui usaha yang lebih banyak lagi selepas ini, dapat meningkatkan kesedaran dan menjemput lebih banyak syarikat serta entiti korporat.

“Tidak semestinya syarikat yang besar, perusahaan kecil dan sederhana pun dialu-alukan untuk membantu meningkatkan usaha konservasi, sebab kita masih memerlukan dana yang agak tinggi,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Program FCC sebagai Platform Dipercayai Malaysia bagi Pembiayaan Pemuliharaan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Syed Ibrahim Syed Noh dan and Pesuruhjaya Tinggi British British ke Malaysia Ajay Sharma. 

FCC yang dilancarkan dan beroperasi pada Jun 2024, berfungsi sebagai mekanisme bukan pasaran untuk menyalurkan dana daripada sektor swasta bagi menyokong projek pemuliharaan hutan di negara ini.

Menerusi ucapannya Arthur berkata tidak seperti inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), FCC berasaskan kepada prestasi dan disahkan secara bebas, sejajar dengan jangkaan pelaporan kemampanan domestik dan antarabangsa.

“Ini memberikan syarikat jaminan yang diperlukan untuk pendedahan ESG berkualiti tinggi.

“Dengan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, FCC juga membolehkan syarikat mencapai komitmen kemampanan sambil mengoptimumkan sumber,” katanya.

Mengenai program Forest Carbon Offset (FCO) Arthur berkata ia dijangka siap menjelang suku kedua tahun ini untuk melengkapi Dasar Pasaran Karbon Negara yang akan datang, menjana kredit karbon berintegriti tinggi daripada sektor perhutanan, dengan menggunakan program pengkreditan karbon Malaysia sendiri.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan