WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKTOR PELANCONGAN PERLU FOKUS PASARAN ASIA TIMUR, SERANTAU - EXCO PERAK

30/03/2026 06:26 PM

TAIPING, 30 Mac (Bernama) -- Sektor pelancongan negara perlu menyusun strategi dengan memberi tumpuan kepada pasaran Asia Timur serta negara serantau bagi menangani kesan konflik di Asia Barat ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata langkah itu penting bagi memastikan industri pelancongan kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Beliau berkata krisis berkenaan memberi kesan kepada industri pelancongan di seluruh dunia termasuk gangguan terhadap rangkaian penerbangan antarabangsa.

"Apabila berlaku krisis, banyak penerbangan bukan sahaja dibatalkan disebabkan kekangan bahan api, malah faktor keselamatan turut menjadi pertimbangan.

"Ini menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan laluan lebih jauh yang meningkatkan kos serta tempoh perjalanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pengubahsuaian dalaman Pusat Interpretasi Pelancong dan pelancaran Jejak Kedamaian Taiping di Menara Jam Taiping di sini hari ini.

Loh berkata Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding negara lain berikutan kestabilan serta bekalan tenaga yang mencukupi.

"Jika kita lihat negara serantau, ada yang berdepan kenaikan harga bahan api malah turut mengalami kekurangan bekalan. Sebaliknya di Malaysia, kita masih menikmati harga yang stabil dan bekalan yang mencukupi, dan ini menjadi faktor penting untuk menarik pelancong," katanya.

Beliau berkata pelancong kebiasaannya memilih destinasi yang stabil dan selamat berbanding negara yang berdepan ketidaktentuan.

Katanya selain itu, konsep bekerja secara jarak jauh turut membuka ruang kepada pelancong untuk tinggal sementara di negara ini sepanjang tempoh krisis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sektor pelancongan domestik dijangka terus mendapat manfaat apabila lebih ramai yang memilih untuk bercuti dalam negara berbanding ke luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan