WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BUNUH BEKAS KEKASIH: BEKAS PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL DIHUKUM PENJARA 30 TAHUN, 10 SEBATAN

30/03/2026 07:16 PM

PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) -- Seorang bekas pelajar kolej vokasional, yang sebelum ini dihukum penjara 15 tahun kerana menyebabkan kematian bekas teman wanitanya, kini perlu menjalani tempoh pemenjaraan lebih lama selepas Mahkamah Rayuan mensabitkannya atas kesalahan membunuh mangsa.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu hari ini selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Ahmad Faisal Omar atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan pertuduhan bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap Ahmad Faisal, 26, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Mei 2018.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Azmi berkata terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Ahmad Faisal mempunyai niat membunuh berdasarkan perbuatan tertuduh mencekik mangsa sehingga membawa kepada kematiannya.

Beliau berkata Ahmad Faisal dalam pembelaannya telah mengaku mencekik Nuralya Damia Mohd Hairi, 19, manakala punca kematian melalui kaedah itu turut disahkan oleh ahli patologi.

Hakim itu juga berkata tiada bukti yang menunjukkan wujud sebarang provokasi serius seperti didakwa tertuduh dan menambah bahawa tindakan Ahmad Faisal jelas terjumlah di bawah Seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan kerana perbuatannya mencekik mangsa adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian.

Beliau berkata pendakwaan telah membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ahmad Faisal pada asalnya didakwa atas pertuduhan membunuh Nuralya Damia namun pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Seremban telah mensabitkan tertuduh atas kesalahan menyebabkan kematian mangsa dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atasnya, menyebabkan pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan di Taman PD Permata, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 8.30 malam hingga 10.30 malam pada 24 Mei 2018.

Berdasarkan kes pendakwaan, Ahmad Faisal dan mangsa saling mengenali ketika mereka menuntut di sebuah kolej vokasional serta pernah menjalinkan hubungan romantik.

Bagaimanapun, mereka berpisah pada Februari 2018 namun mangsa meminta agar hubungan mereka disambung semula, yang ditolak oleh Ahmad Faisal.

Pada hari kejadian, Ahmad Faisal telah bertemu dengan mangsa, dan ketika berada dalam sebuah kereta, berlaku pertengkaran antara mereka sehingga menyebabkan tertuduh mencekik Nuralya Damia.

Apabila mendapati mangsa berada dalam keadaan lemah, tertuduh telah membuka pintu dan menolak Nuralya Damia keluar dari kereta sebelum pulang ke rumah sewanya.

Bagaimanapun dalam pembelaannya, Ahmad Faisal mendakwa dia bertemu dengan mangsa hanya untuk membincangkan masalah hubungan mereka dan tidak pernah berniat untuk membunuh Nuralya Damia. 

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Aznin Mohamed Ariff hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Diar Isda Yazmin Ismail mewakili Ahmad Faisal.

Ahmad Faisal masih mempunyai satu lagi peluang untuk merayu, iaitu ke Mahkamah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan