WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ROMBAKAN KEPIMPINAN TENTERA MYANMAR DI TENGAH KEMELUT BEKALAN BAHAN API, KRISIS KEMANUSIAAN

31/03/2026 01:17 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 31 Mac (Bernama) -- Tentera Myanmar melaksanakan rombakan kepimpinan tertingginya pada Isnin di tengah-tengah masalah kekurangan bekalan bahan api dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, dengan kedua-duanya mengancam kestabilan ekonomi negara itu.

Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, yang menerajui negara itu sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Jeneral Ye Win Oo semalam.

Susulan penyerahan tugas itu, Ye Win Oo kini menggalas tanggungjawab sebagai Panglima Angkatan Tentera.

“Selagi dunia ini wujud, Myanmar mesti wujud, dan Tatmadaw (angkatan tentera) mesti wujud selagi adanya Myanmar,” kata Min Aung Hlaing semasa majlis penyerahan tugas ketenteraan di Nay Pyi Taw, lapor media rasmi The Global New Light of Myanmar.

Pyithu Hluttaw, atau dewan rendah parlimen, mencalonkan Min Aung Hlaing, 69, sebagai salah seorang daripada tiga naib presiden, yang dilihat bakal membuka jalan untuk beliau menjadi presiden seterusnya bagi memimpin lebih 50 juta rakyat di negara Asia Tenggara itu.

Ahli Parlimen dijangka memilih presiden baharu melalui proses pengundian pada bulan depan.

Peralihan landskap politik ini berlaku pada waktu kritikal ketika Myanmar, seperti kebanyakan ekonomi lain yang bergantung kepada minyak dan gas, sedang bergelut untuk menangani kenaikan kos bahan api susulan konflik ketenteraan di Asia Barat.

Sehingga pertengahan Mac, harga petrol meningkat sebanyak 12 peratus manakala diesel sebanyak 23 peratus. Media rasmi melaporkan simpanan petrol negara hanya mampu bertahan selama kira-kira 40 hari, manakala simpanan diesel selama 50 hari.

Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah penjimatan bahan api, termasuk sistem ganjil-genap bagi penggunaan kenderaan bermotor dan pengisian bahan api. Selain itu, kakitangan kerajaan diarah bekerja dari rumah pada setiap Rabu dan penggunaan kod respons pantas diwajibkan bagi pembelian bahan api.

Krisis dalaman yang berlarutan ini turut menarik perhatian antarabangsa.

Pada 27 Mac, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa krisis Asia Barat memberi beban tambahan kepada keluarga yang masih bergelut untuk pulih daripada kesan gempa bumi besar yang melanda Myanmar pada 28 Mac tahun lepas.

“Rakyat yang terselamat daripada gempa bumi baru sahaja mahu bangkit semula, namun kini mereka sekali lagi ditimpa musibah.

“Gelombang ketidakstabilan global baharu ini melanda Myanmar pada waktu yang paling sukar,” kata Pengarah Negara dan Wakil WFP di Myanmar, Michael Dunford, dalam satu kenyataan sehari sebelum ulang tahun pertama gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang mengorbankan hampir 3,800 nyawa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan