WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKAS PENYELARAS DUN DIDAKWA KEMUKA DOKUMEN PALSU

31/03/2026 01:20 PM

ALOR SETAR, 31 Mac (Bernama) -- Seorang bekas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu mengenai laporan perbelanjaan berjumlah lebih RM33,000, dua tahun lepas.

Faizal Zailan, 45, didakwa mengemukakan dokumen Laporan Perbelanjaan Peruntukan Kerajaan B02 bagi November hingga Disember 2023 Penyelaras DUN Bakar Arang bertarikh 1 Jan 2024 berjumlah RM33,850 kepada Pembantu Tadbir Kewangan, DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Dia yang telah digugurkan daripada jawatan itu didakwa mempunyai sebab mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu mengenai Ringkasan Laporan Peruntukan Khas Perbelanjaan Peruntukan Penyelaras DUN 2023, Penyelaras DUN Bakar Arang, dengan senarai penerima bantuan peruntukan berkenaan tidak menerima wang itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Penyelaras DUN Bakar Arang, Sungai Petani pada 7 Jan 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah terlibat atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Kedah Mohd Zulfadli Azharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Faizal.

Peguam Mohd Amirul Ramli memohon jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya tidak lagi bertugas di Pejabat Penyelaras DUN itu dan menjalankan perniagaan sendiri dengan pendapatan tidak tetap serta menanggung isteri dan anak berusia setahun.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 11 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan