WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELAJAR CEMERLANG 9A+ DEDIKASI KEJAYAAN BUAT ARWAH IBU BAPA

31/03/2026 03:21 PM

JOHOR BAHRU, 31 Mac (Bernama) -- Kehilangan kedua ibu bapa bukan penghalang buat Ikhzzah Rahim Ibrahim Kutty untuk meraih keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Ketiadaan insan tersayang tidak melemahkan semangat pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF) itu, sebaliknya menjadi sumber kekuatan untuk terus berjaya dalam pelajaran.

Menurut Ikhzzah Rahim, ibunya Siti Hawa Yunus, 50, meninggal dunia pada 2021 akibat pelbagai komplikasi penyakit, manakala bapanya Ibrahim Kutty Abu Bakar, 76, pula meninggal dunia setahun kemudian akibat jangkitan pada salur kencing.

"Mungkin yang paling terkesan adalah saya anak bongsu kerana jangka masa waktu dengan keluarga juga paling pendek kerana duduk di asrama.

"Bila terfikir perkara itu membuatkan saya sedih, namun ia menjadi motivasi untuk saya kuat. Kejayaan ini (didedikasikan) untuk mereka," kata anak bongsu dari tiga beradik itu.

Ikhzzah Rahim yang berasal dari Melaka dan ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang sains berkata sokongan daripada abang dan kakak yang menjadi kekuatan utama dalam perjalanannya mencapai kejayaan hari ini.

Mengimbas kembali perjalanan pembelajarannya, Ikhzzah Rahim mengakui berdepan cabaran besar apabila terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pandemik COVID-19 pada 2021 yang menuntut disiplin dan berdikari tanpa bimbingan secara bersemuka.

Tekanan itu antara lain dipengaruhi dengan ketiadaan peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Kami semua tidak pernah berada dalam situasi kita ada peperiksaan yang serius dan besar. SPM pada awalnya buat kami berdebar dan rasa bebanan, namun syukur ia berjalan lancar berkat usaha dan juga bantuan guru-guru," katanya.

Sementara itu, Nurul Khairah Balqis Mohd Faizal dari Seri Alam dekat Pasir Gudang yang juga meraih 9A+ berkata bantuan dan bimbingan guru adalah antara penyumbang utama kejayaan mereka.

"Cikgu juga sentiasa berkongsi pelbagai tips dan teknik menjawab yang efektif sekali gus meningkatkan keyakinan kami.

"Alhamdulillah kebanyakan (topik) yang cikgu ajar juga keluar dalam peperiksaan," katanya yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang perubatan.

Anak ketiga dari empat beradik itu pada masa sama berharap kejayaan dicapainya dapat membanggakan bapanya Mohd Faizal Rahman, 55, yang bekerja sebagai pemandu lori dan ibunya Hairani Muhammad Piah, 46, seorang suri rumah.

Nurul Khairah Balqis dan Ikhzzah Rahim adalah antara lapan pelajar STF yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam SPM yang diumumkan hari ini.

Secara keseluruhan sebanyak 36 calon di Johor memperoleh pencapaian cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran dalam SPM 2025.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan