WILAYAH - SARAWAK > BERITA

THAILAND LULUS KENAIKAN 1.8 PERATUS TARIF ELEKTRIK SUSULAN PENINGKATAN KOS TENAGA

02/04/2026 12:09 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 1 April (Bernama) --  Suruhanjaya Pengawalseliaan Tenaga (ERC) Thailand pada Rabu meluluskan kenaikan 1.8 peratus bagi tarif elektrik untuk tempoh bil Mei-Ogos, dengan mengambil kira peningkatan kos tenaga global dan ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang.

Ketua Setiausaha ERC, Poolpat Leesombatpiboon berkata suruhanjaya itu telah mempertimbangkan maklum balas orang ramai sebelum meluluskan pelarasan di bawah mekanisme pelarasan tarif automatik (Ft).

Menurut Poolpat, perundingan awam yang dijalankan melalui laman sesawang Pejabat ERC dari 25 hingga 31 Mac menerima 340 maklum balas, dengan 49 peratus menyokong tarif purata 3.95 baht seunit, termasuk penggunaan dana tuntutan semula bagi mengurangkan kos.

“Kadar Ft telah ditetapkan pada 16.23 satang seunit (100 satang = 1 baht). Apabila digabungkan dengan tarif asas sebanyak 3.78 baht (10 baht = RM1.24) seunit, ini menjadikan purata caj elektrik sebanyak 3.95 baht seunit, tidak termasuk VAT,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Beliau berkata kadar Ft tersebut mencerminkan unjuran kos bahan api dan pembelian kuasa sebanyak 29.66 satang seunit bagi tempoh berkenaan.

“Bagi pusingan ini, Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) akan terus menanggung tunggakan kos terkumpul (AF) sebanyak 35.928 bilion baht bagi pihak orang awam,” katanya.

Poolpat berkata Thailand kini mempunyai kira-kira 26 juta pengguna elektrik. Daripada jumlah itu, sekitar 14.3 juta pengguna domestik menggunakan tidak lebih daripada 200 unit sebulan, merangkumi 62 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala kira-kira 17.5 juta atau 76 peratus, menggunakan tidak lebih daripada 300 unit.

“Sebarang keputusan untuk mengehadkan tarif elektrik mesti mengambil kira kekangan belanjawan, kestabilan sistem kuasa serta kesan jangka panjang. ERC kekal komited terhadap pendekatan kawal selia yang seimbang, telus dan adil untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

ERC juga sedang memantau rapi harga tenaga global, terutamanya gas asli cecair (LNG) yang kekal tidak menentu disebabkan faktor geopolitik dan permintaan yang meningkat, berpotensi menjejaskan kos penjanaan elektrik pada masa hadapan.

Pejabat ERC turut mengambil maklum bahawa permintaan elektrik biasanya meningkat pada bulan April semasa musim panas, memandangkan peralatan seperti penyaman udara dan peti sejuk menggunakan lebih banyak tenaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan