AM

KPWKM KOMITED PASTIKAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK OKU TERBELA - NANCY

17/11/2024 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Penambahbaikan kebajikan anak-anak orang kurang upaya (OKU) dalam Belanjawan 2025 dengan memasukkan peruntukan untuk golongan autism meningkatkan komitmen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperjuangkan keperluan anak-anak OKU lain termasuk penyakit jarang jumpa.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan terus komited memastikan kebajikan anak-anak OKU terus terbela dan diberi layanan sama rata serta diperkasa melalui peruntukan kementerian dalam Belanjawan 2025.

“Mereka perlu diberi perhatian dan juga dilayan dengan cara saksama, itu peranan kitalah… kalau lihat Belanjawan 2025, ia turut melibatkan (peruntukan) untuk golongan autism, kalau dahulu tidak ada.

“Jadi kita akan bincang bagaimana nak laksanakannya… tapi kita sangat gembira sekurang-kurangnya ada penambahbaikan berbanding dahulu. Insya-Allah mungkin kita akan melihat juga kepada keperluan bagi setiap penyakit termasuk penyakit jarang jumpa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan Spastic Fun Run, sempena Larian Amal Tahunan Walk-Jog-Wheel-A-Thon ke-29 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata setakat 31 Okt ini, lebih 740,000 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berbanding 633,653 pada 2023.

“Sukacita dimaklumkan bahawa semasa pembentangan Belanjawatn 2025, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan bagi pemberian Elaun Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 sebulan dan ini memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar OKU di seluruh Malaysia. Turut diumumkan RM5 juta bagi pembangunan Pusat Perkhidmatan Autisme di negara ini.

“Matlamat kita adalah mengekalkan angka ini dan mengumpulkan data yang lebih tepat. Saya ingin menggalakkan semua di sini membantu kami meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada setiap OKU untuk mendaftar dengan JKM bagi memastikan tiada sesiapa ketinggalan terutama dalam mendapatkan bantuan,” katanya.

Nancy berkata tahun ini, kementerian berkenaan telah meluluskan peruntukan lebih RM412,632 bagi menyokong komuniti spastik dan kurang upaya fizikal seluruh negara.

“Bagi Spastic Children's Association Of Selangor & Federal Territory (SCAS & FT) sahaja, sejumlah RM117,600 telah diluluskan untuk Elaun Murid Berkeperluan Khas, token sukarelawam dan urusan pentadbiran.

Pada program anjuran SCAS & FT itu, sejumlah 2,000 penyertaan diterima termasuk 300 peserta OKU melibatkan tiga kategori iaitu 2 kilometer (km); 5 km dan 10 km.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan