ALOR GAJAH, 12 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka menyasarkan membina baharu dan membaik pulih 10 rumah menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM520,000.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek membangunkan penempatan semula itu membolehkan keluarga nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.
"Bantuan ini diberikan kepada nelayan yang berpendapatan rendah di bawah tiga komponen utama PKPN iaitu baik pulih, bina baharu dan penempatan semula rumah nelayan.
"Pada 2024 LKIM telah menerima 10 permohonan untuk baik pulih rumah nelayan dan kesemuanya telah siap dibaik pulih dengan kos RM130,000 untuk seluruh Melaka," katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyantuni Mamat Yusof, seorang nelayan yang menerima bantuan baik pulih rumah di bawah program PKPN di Teluk Gong sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Rashima Baharuddin.
Muhamad Akmal berkata LKIM sentiasa memainkan peranan proaktif sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan.
Beliau berkata tumpuan akan terus diberikan kepada peningkatan pendapatan nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara di samping memastikan bekalan ikan mencukupi.
"Selain itu pelbagai jenis bantuan seperti bantuan peningkatan peralatan tangkapan ikan (touchpoint), bantuan bencana dan lain-lain akan diteruskan sebagai keprihatinan kepada kebajikan golongan nelayan," katanya.
-- BERNAMA