KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) dan Global NEV Technology Sdn Bhd (GNEV) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka kerjasama strategik dalam pemasangan dan pembuatan kenderaan tenaga baharu (NEV) di Malaysia.
Menurut kenyataan bersama pada Khamis, kerjasama itu bertujuan memperkasakan ekosistem NEV di Malaysia, dan akan menumpukan kepada operasi pemasangan tempatan di peringkat awal sementara GNEV berhasrat untuk memeterai pengaturan pemasangan kontrak dengan NMSB.
“Objektif utama MoU ini adalah mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama antara NMSB dan GNEV dalam membangunkan kemudahan teknologi hijau di Malaysia khususnya dalam pemasangan dan pembuatan NEV.
“Aktiviti khusus berdasarkan MoU itu akan diperincikan dalam perjanjian muktamad, dengan kedua-dua pihak menyasarkannya dimeterai menjelang pertengahan Februari 2025,” tambah kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan bersama itu, sebaik sahaja perjanjian muktamad tersebut dimeterai, kenderaan elektrik komersial pertama dijangka dapat dihasilkan daripada barisan pengeluaran NMSB seawal suku pertama 2026.
NMSB, usaha sama antara Careplus Group Bhd dan GoAuto Group Sdn Bhd, menyasar untuk menerajui peralihan Malaysia kepada teknologi automotif mampan dan hijau dengan membangunkan kemudahan pembuatan teknologi hijau khusus yang pertama di negara ini.
Kilang NEV di Chembong, Negeri Sembilan dijangka dibuka pada suku kedua 2025 dan akan menyokong peralihan Malaysia kepada mobiliti mampan di samping memacu ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini.
-- BERNAMA