KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyediakan latihan pentauliahan koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) secara percuma kepada 10,000 peserta daripada perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata inisiatif yang dilaksanakan menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) itu melibatkan peruntukan kira-kira RM9 juta.
“Ia keperluan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pindaan terbaharu berkuat kuasa tahun lepas yang mewajibkan setiap syarikat (dengan lebih lima pekerja) mempunyai seorang koordinator OSH.
"Kita faham untuk syarikat SME ini, mungkin ada kos tambahan untuk menghadiri kursus koordinator OSH dan (kos ini) bergantung pada penyedia kursus, tetapi sekurang-kurangnya lebih kurang RM1,000 bagi setiap peserta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran ASEAN OSH Summit 2025 di sini hari ini.
Sim berkata mereka yang berminat menyertai latihan yang dijangka bermula Februari ini boleh mendaftar di NIOSH pada minggu hadapan sama ada menerusi telefon, secara dalam talian atau mengunjungi pejabat institut itu.
Pada majlis sama, Sim turut melancarkan Pasport Keselamatan Institut Kewangan NIOSH (NFISP) yang dibangunkan pihak industri bagi sektor kewangan atau perbankan untuk memperkasakan aspek keselamatan serta kesihatan tempat kerja dalam sektor itu.
"Pasport keselamatan ini adalah secara sukarela dan tidak ada paksaan kepada pemain industri. Tetapi, kita beri insentif supaya lebih banyak industri tampil mengambil bahagian melaksanakan program ini," katanya dan menambah setakat ini NIOSH mempunyai 25 program pasport keselamatan dalam pelbagai bidang.
Pada perkembangan lain, Sim berkata lebih 11,000 peserta di seluruh negara telah menyertai kursus latihan Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA) yang diperkenalkan pada Februari tahun lepas, melebihi sasaran 10,000 orang.
Beliau berkata kursus yang dilaksanakan NIOSH dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan melatih dan membolehkan individu yang boleh memberikan pertolongan awal kepada rakan sekerja yang mengalami isu berkaitan kesihatan mental di tempat kerja.
"Sudah pasti mereka bukan doktor, mereka ialah responden pertama dan mereka boleh bertindak balas segera … jadi, kita nak pastikan setiap tempat kerja harus ada seorang pemberi pertolongan cemas kesihatan mental.
"Masalah kesihatan mental ialah satu isu yang menular bukan sahaja di tempat pekerjaan, tetapi juga dalam kalangan masyarakat secara amnya, khususnya semasa pandemik COVID-19 atau mereka yang mengalami pelbagai tekanan hidup dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, berhubung kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Feb ini, Sim mengingatkan kepada majikan untuk tidak menjadikan kadar gaji minimum baharu itu sebagai gaji permulaan kepada semua pekerja termasuk siswazah.
Beliau berkata berdasarkan statistik, lebih kurang 4.3 juta pekerja di Malaysia mempunyai gaji bulanan bawah RM1,700 dengan 80 peratus daripadanya ialah warga tempatan.
Sebelum ini, Sim berkata kadar gaji minimum itu ialah gaji untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) serta menyarankan pekerja diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran atau kelulusan akademik.
-- BERNAMA