EKONOMI

DSG GROUP DARI NEW ZEALAND MAHU BEKERJASAMA DENGAN MALAYSIA UNTUK MEMAJUKAN KEWANGAN DIGITAL

23/01/2025 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- DSG Group berpangkalan di New Zealand, peneraju global dalam tokenisasi sekuriti dan kemudahan modal rentas sempadan telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk memajukan matlamat kewangan digital negara.

Presiden Persatuan Perniagaan New Zealand Malaysia (NZMBA) Dave Ananth berkata pengalaman luas DSG dalam membangunkan rangka kerja aset tokenisasi sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memodenkan sistem kewangannya.

“DSG, pakar dalam menghubungkan penawaran aset tempatan seperti ekuiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dana infrastruktur dan bon hijau dengan pelabur antarabangsa. Bon hijau dan dana pasaran karbon, sesuai dengan agenda kemampanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Tokenisasi atau pendigitalan aset pada platform lejer digital terbuka (blockchain) menawarkan potensi yang besar untuk Malaysia.

Dengan meningkatkan kecairan, memudahkan pelaburan rentas sempadan dan menghubungkan perniagaan tempatan dengan kumpulan modal global, teknologi ini boleh meletakkan Malaysia sebagai hab untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Ananth yang juga ahli Lembaga Penasihat di Asia di Auckland Business Chamber berkata aset tokenisasi seperti bon hijau boleh mewujudkan pasaran cair, menarik pelaburan asing sambil memajukan keutamaan negara seperti pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan infrastruktur.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas Kumpulan DSG, Ryan Johnson-Hunt berkata Malaysia berada pada persimpangan penting dalam perjalanannya ke arah tokenisasi.

“Lokasi strategik Malaysia dan komitmen terhadap kemampanan memberikan peluang unik kepada negara menempatkan kedudukannya sebagai hab serantau bagi kewangan digital.

“DSG teruja untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan Malaysia untuk membangunkan rangka kerja tokenisasi sekuriti yang boleh menarik modal luar negara untuk projek tempatan,” katanya.

Menurut DSG Group, perkongsian awam-swasta (PPP) penting untuk merealisasikan visi kewangan digital Malaysia.

Sehubungan itu, kerjasama dengan platform teknologi kewangan (fintech) global seperti DSG boleh membantu Malaysia mewujudkan infrastruktur sekuriti digital, pada masa sama menangani cabaran utama seperti latihan tenaga kerja, pembinaan kapasiti dan libat urus industri.

"Memanfaatkan kepakaran global ditambah dengan sokongan kerajaan akan membolehkan Malaysia membina infrastruktur kewangan berdaya tahan yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi mampan," kata Ananth.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menekankan kepentingan transformasi digital dalam sektor ekonomi dan kewangan negara.

Semasa lawatan rasmi ke Abu Dhabi baru-baru ini, perdana menteri mengumumkan rancangan untuk meneroka dasar kewangan digital yang mengintegrasikan teknologi blockchain dan mata wang kripto.

Anwar telah mengarahkan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Perbendaharaan dan Bank Negara Malaysia untuk membangunkan strategi bagi memastikan Malaysia seiring dengan kemajuan global serta menjaga kepentingan awam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan