AM

KEPENGERUSIAN ASEAN 2025: NRES ANJUR DUA MESYUARAT UTAMA ALAM SEKITAR

05/02/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak dua mesyuarat utama alam sekitar akan diadakan sempena Kepengerusian ASEAN 2025, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) ke-36 akan diadakan pada 28 Julai hingga 1 Ogos serta Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) ke-18 pada 1 hingga 5 Sept, masing-masing di Langkawi, Kedah.

“Dengan tema ASEAN Satu Suara: Mempercepatkan Tindakan Iklim Demi Penjagaan, Perkongsian dan Keperluan Bersama, kita menegaskan pentingnya tindakan kolektif dalam memastikan masa depan yang lestari untuk generasi akan datang.

“Perubahan iklim bukan hanya isu alam sekitar tetapi juga berkait rapat dengan keselamatan, ekonomi, dan kesejahteraan rakyat di rantau ini,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Nik Nazmi berkata mesyuarat berkenaan akan memfokuskan mengenai kelangsungan ekosistem dan pengurusan alam sekitar, serta pengelolaan sumber daya alam.

Katanya sebagai satu komuniti, ASEAN perlu bersuara dengan lebih lantang dan tegas dalam arena antarabangsa.

”Kita mesti memastikan kepentingan rantau ini mendapat perhatian yang sewajarnya dalam perundingan global, di samping meningkatkan kerjasama serantau melalui inisiatif-inisiatif yang lestari.

“Penjagaan alam sekitar memerlukan usaha yang bersepadu, bukan sahaja dalam mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga dalam meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim melalui dasar dan tindakan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata penganjuran mesyuarat ASOEN dan AMME di peringkat ASEAN memainkan peranan penting dalam mewujudkan kawasan yang aman dan lestari.

Katanya melalui kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk alam sekitar dan perubahan iklim, platform ASEAN membantu memperkukuh integrasi serantau, meningkatkan kesejahteraan masyarakat, dan menyediakan respons yang lebih cepat serta berkesan terhadap cabaran serantau yang dihadapi oleh negara-negara anggota ASEAN.

Selain itu, beliau berkata NRES turut akan menganjurkan 14 mesyuarat bersama rakan dialog ASEAN termasuk Kesatuan Eropah, China, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat berkaitan isu alam sekitar dan perubahan iklim.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan