EKONOMI

MAZDA LABUR 5.0 BILION BAHT BINA HAB PEMBUATAN SUV ELEKTRIK DI THAILAND

13/02/2025 08:14 PM

BANGKOK, 13 Feb (Bernama) -- Mazda Motor Corporation akan melabur sebanyak 5.0 bilion baht (100 baht = RM13.18) untuk mewujudkan hab pembuatan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak elektrik di Thailand.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mazda Motor Corporation Masahiro Moro selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra di sini pada Khamis.

Pusat pembuatan itu adalah bagi pasaran domestik dan eksport, katanya sambil menekankan mengenai komitmen Mazda terhadap hubungan yang kukuh dengan Thailand.

"Pelaburan Mazda dalam SUV kompak elektrik ini menandakan langkah penting ke hadapan dan menunjukkan bermulanya peralihan secara beransur-ansur kepada pengeluaran kenderaan elektrik (xEV).

"Menerusi pelaburan melebihi 5.0 bilion baht, Mazda menyasarkan menjadikan Thailand sebagai hab pembuatan untuk produk SUV kompak elektrik," kata Moro dalam kenyataan yang dikongsikan oleh Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) pada Khamis.

Beliau berkata kenderaan yang akan dihasilkan di Thailand adalah SUV kompak berprestasi tinggi, yang memenuhi piawaian antarabangsa dalam persekitaran mesra alam dan teknologi hibrid.

Pelaburan pengeluaran berskala besar ini dijangka menyokong jualan domestik dan eksport ke Jepun, negara-negara ASEAN dan pasaran antarabangsa lain, dengan sasaran kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 unit setahun, katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BOI dan Jawatankuasa Dasar EV (Lembaga EV) Narit Therdsteerasukdi menekankan mengenai kepentingan pelaburan Mazda.

"Ini adalah langkah penting dalam pembangunan berterusan Thailand sebagai hab pembuatan bagi semua segmen industri automotif.

"Ia turut berperanan sebagai sokongan teguh terhadap dasar kami untuk menyokong pengelektrikan dalam sektor ini termasuk pelbagai jenis teknologi hibrid," kata Narit.

Komitmen Mazda terhadap Thailand menunjukkan keyakinan kepada keupayaan negara ini, katanya sambil mengakui bahawa pengumuman yang dibuat itu adalah bersesuaian menjelang jerayawara BOI di Jepun pada minggu depan.

"Ini jelas menunjukkan potensi pelaburan Jepun yang seterusnya di Thailand, bukan sahaja dalam industri automotif malah dalam sektor teknologi maju lain," katanya.

BOI pada bulan lepas melaporkan bahawa permohonan meningkat 35 peratus bagi promosi pelaburan pada 2024, berjumlah 1.14 trilion baht -- paras tertinggi sejak 2014, didorong oleh pelaburan langsung asing utama dalam pusat data, perkhidmatan awan serta pembuatan semikonduktor dan elektronik termaju.

Menurut BOI sektor automotif dan alat ganti berada pada kedudukan ketiga dari segi nilai pelaburan, melibatkan 309 projek dengan nilai gabungan 102.4 bilion baht.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan